Perbanyakan pendedahan sukan olahraga

Perbanyakan pendedahan sukan olahraga

Oleh Mohamad Asyramisynaie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Empat atlet muda ne-gara yang terdiri daripada Muhammad Hakeem@Faiz bin Sulaiman, Mohd Wafiq bin Kifli, Maizurah Abdul Rahim dan Ernie Abdul Fattah hari ini pulang ke tanah air setelah menyertai Kejohanan Olahraga Junior Negara-negara Asia ke-17 yang berlangsung bermula 3 hingga 6 Jun 2016 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Mengulas mengenai pencapaian atlet di sana, Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Brunei Darussalam, Mohd Shahjohan bin Haji Shari menegaskan bahawa beberapa aspek perlu diberikan perhatian termasuk dari segi mental dan fizikal yang menurutnya perlu dipertingkatkan.

“Atlet akan bertanding di setiap peringkat akan mempunyai tekanan mental dan fizikal yg berbeza daripada pihak lawan dan berdasarkan kepada persiapan yang dibuat mereka perlu membiasakan diri dengan perlawanan pendedahan,” ujarnya.

Menurutnya apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah memperbanyakkan program pembangunan sukan di tanah air, seperti liga, kejohanan peringkat umur, peringkat daerah dan nasional sebelum mereka terpilih mewakili kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

“Ini sebagai satu fakta untuk peningkatan prestasi seorang atlet atau pasukan sebagai contoh. Seseorang atlet profesional luar negara akan memerlukan 30 hingga 40 kali perlawanan setahun dan ia termasuk kejohanan dalam negara dan luar negara,” tegas bekas atlet 400m (1995-2001), lompat kijang (2002-2007) dan pemenang rekod kebangsaan negara acara lompat kijang itu lagi.

Atlet negara ketika berada di Vietnam.
Atlet negara ketika berada di Vietnam.
Barisan atlet bersama Mohd Shahjohan (paling kiri) ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Barisan atlet bersama Mohd Shahjohan (paling kiri) ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Menurutnya lagi, mereka (atlet) memerlukan kejohanan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 kejohanan setahun, ini termasuk kejohanan dalam dan luar negara dan bagi peringkat akar umbi juga memerlukan penyerapan kepada kejohanan yang memerlukan sekurangnya 10 hingga 20 kali setahun.

“Pencapaian dan prestasi atlet diukur daripada peningkatan atau penurunan tertakluk kepada program  latihan seseorang jurulatih, di mana sasaran mereka mengikut pelan umum yang mengandungi beberapa fasa termasuk puncak pencapaian,” tegasnya kepada media.

Dalam temu bual bersamanya beliau menegaskan setiap atlet hanya akan meningkat 3 hingga 5 peratus dalam masa setahun dan ia tergantung kepada berapa lama latihan dijalankan secara berpanjangan dan bahkan ada kalanya atlet tidak menunjukkan prestasi dalam sesuatu kejohanan.

“Antara penyebab yang sering kita perhatikan adalah penyesuaian diri pada cuaca, suasana pertandingan, ini termasuk penyesuaian diri semasa latihan seperti  jam pertandingan kerana bertanding di peringkat kebangsaan dan serantau mempunyai perbezaan yang ketara dan ia merupakan peluang terbaik untuk atlet negara untuk berpeluang mengalami perbezaan ini secara proaktif,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai acara lompatan dan buangan pula, menurutnya atlet negara haruslah bertungkus lumus mencatat prestasi terbaik di tiga percubaan terawal sebelum dipilih untuk layak ke peringkat lapan terbaik untuk meneruskan lagi tiga percubaan dalam mencu-kupkan enam kali buangan atau lompatan.

Menurutnya lagi, bagi atlet profesional melakukan latihan 18 hingga 20 sesi seminggu yg memakan masa dua hingga tiga jam setiap sesi, sementara atlet pembangunan atau pelapis memerlukan 10 hingga 16 sesi seminggu dengan memakan masa 90 hingga 120 minit setiap sesi dan atlet akar umbi memerlukan enam hingga lapan sesi seminggu dengan memakan masa 60 hingga 90 minit setiap sesi.

“Saya tetap bangga dengan pencapaian atlet-atlet kita pada kali ini, kerana semangat mereka yang pantang mundur dan tidak mahu mengalah dalam berjuang demi menaikkan nama Negara Brunei Darussalam di dalam dunia sukan persada dunia, dan syabas saya ucapkan,” kata beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA