Perbanyakan penglibatan dalam sukan takraw

Perbanyakan penglibatan dalam sukan takraw

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Pihak berkepentingan dalam sukan sepak takraw di negara ini termasuk pengurus-pengurus pasukan, pihak jabatan dan barisan jurulatih perlu tampil untuk melihat dan meninjau kejohanan yang dianjurkan serta proaktif dalam pencarian bakat-bakat baru sukan ini untuk disalurkan ke dalam senarai pemain kebangsaan yang berkualiti.

Perkara itu antara yang diseru oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PESTBARU), Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran Dato Seri Laila Jasa Haji Abas ketika ditemui dan mengulas mengenai Kejohanan Sepak takraw Pantai ke-4 tahun 2016 bagi merebut piala pusingan PESTABARU anjuran PESTABARU dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) baru-baru ini.

Beliau yang ditemui di Kompleks Sukan Menglait mengatakan, “PESTABARU akan terus proaktif untuk mengambil maklumat dan meneliti setiap pemain yang berpotensi kerana takraw bukan sukan yang mudah untuk dimainkan oleh sesiapa saja dan secara peribadi saya memuji usaha pihak seperti Kementerian Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan banyak lagi persatuan yang aktif mengadakan kejohanan dalam usaha menampilkan bakat baru sepak takraw tempatan.”

Menurutnya pasukan negara bukan sahaja berjaya menarik minat syarikat tempatan untuk tajaan malah firma seperti perbankan luar negara yang pernah menaja pasukan kebangsaan dan ini membuktikan pasukan kita mendapat perhatian pihak berkenaan.

Pengiran Haji Ali Hassan ketika ditemui baru-baru ini.
Pengiran Haji Ali Hassan ketika ditemui baru-baru ini.

Pertandingan Kejohanan Sepak Takraw Pantai mula diperkenalkan pada tahun 2011 dengan bantuan JBS dan piala disumbangkan mantan Timbalan Menteri KKBS, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman dan pihak persatuan serta JBS hanya terlepas kesempatan membuat penganjuran kejohanan itu pada tahun lalu sahaja.

Kali pertama penyertaan negara dalam kejohanan itu ialah di Indonesia pada 2008 dan pencapaian pemain skuad negara meraih pingat gangsa, pasukan negara sekali lagi meraih gangsa pada 2010 di Oman, sebelum diikuti gangsa pada penyertaan ketiga negara di China pada tahun 2012.

“Pasukan negara berjaya meraih emas dalam kejohanan itu dalam acara berpasangan di Thailand pada tahun 2014 di bawah didikan Penolong Jurulatih Kebangsaan Awang Japar bin Wali dan di situ kita melihat potensi pemain kebangsaan dalam acara pantai ini,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai aktiviti di separuh kedua tahun 2016 ini katanya PESTABARU dan pihak yang berkenaan telah berjaya mengadakan kejohanan bagi belia bawah 21 tahun sempena Hari Kebangsaan 2015 sebagai pembuka tirai sebelum Piala NBT baru-baru ini dan akan disusuli Kejohanan Pantai minggu ini dan akan disusuli Kejohanan Belia Kebangsaan Sempena Hari Belia Kebangsaan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beliau menyatakan harapan supaya lebih banyak persatuan belia, jabatan dan sekolah serta pihak berkepentingan lain untuk tampil melibatkan diri dan mengambil langkah penganjuran acara pantai ini kerana gelanggang yang dibuat memakan belanja yang besar jika hanya disia-siakan begitu sahaja.

“Gunakanlah gelanggang itu untuk perkembangan acara sukan pantai yang sememangnya mengikuti spesifikasi Persekutuan Persatuan sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang memakan belanja lebih daripada $15,000 dan rugi jika hanya dilihat sebagai gelanggang yang kosong sahaja,” nasihat Presiden PESTABARU itu lagi.

Beliau mewakili PESTABARU dan bagi pihak JBS mengalu-alukan kehadiran orang ramai bermula Jumaat ini nanti bagi menyaksikan acara sukan takraw pantai yang sememangnya seronok dan menghiburkan di Kompleks Sukan Menglait, Gadong nanti.