Perbanyakan sedekah di bulan Ramadan

Perbanyakan sedekah di bulan Ramadan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Agama Islam sangat menggalakkan umatnya bersedekah dan menjadikan sebagai budaya dan kebiasaan dengan cara memberikan bantuan sama ada berupa wang ringgit, makanan, pakaian dan sebagainya.

Amalan sedekah ini adalah untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan yang sangat memerlukan lebih-lebih lagi ketika berlakunya bencana alam dan kemalangan seperti banjir, kebakaran, sakit, kematian dan sebagainya.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, dengan amalan bersedekah itu ia boleh membentuk akhlak yang luhur serta sifat yang mulia kepada pemberinya seperti melahirkan sifat pemurah, belas kasihan dan berlemah lembut terhadap saudaranya yang memerlukannya.

Bersedekah juga merupakan jalan keluar bagi meringankan bebanan hidup golongan fakir dan miskin kerana kesusahan mereka diambil perhatian dan mendapat pembiayaan yang sewajarnya.

Selain itu, dengan bersedekah dapat mengeratkan ukhuwah Islamiah, dapat menghilangkan rasa dengki dan iri hati golongan miskin terhadap golongan kaya serta dapat mengurangkan jurang perbezaan antara mereka.

“Alhamdulillah, di negara ini kita banyak peluang untuk menghulurkan sedekah seperti melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tabung-tabung kutipan derma yang telah diletakkan di tempat-tempat khusus di seluruh negara dan seumpamanya.”

Antara tabung yang dibukakan pada masa ini ialah Tabung Dana Pengiran Muda Makhota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim; Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid; Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan; dan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Nepal bagi orang ramai untuk sama-sama menghulurkan sedekah seangkat-angkat hati mengikuti kemampuan masing-masing.

“Marilah kita mewujudkan suasana masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap kesusahan orang lain. Di samping memupuk budaya suka menghulurkan bantuan melalui sedekah.”

Khatib menyeru, selaku ibu bapa dan penjaga, mereka haruslah menjadi contoh tauladan kepada anak-anak agar mereka diajar dan dididik supaya sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin dengan menghulurkan sedekah kepada mereka, menderma kepada Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid yang ganjarannya adalah begitu besar sekali.

Dengan cara itu, akan tumbuhlah dalam jiwa mereka rasa kasih sayang, suka menolong serta menjauhkan diri mereka daripada sifat-sifat negatif.

Selain daripada itu, buangkanlah sifat bakhil atau kedekut dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Khatib menekankan agar umat Islam menunjukkan sifat-sifat pemurah terhadap ahli keluarganya dengan cara sentiasa mengambil berat dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada mereka.

Melalui contoh baik yang ditunjukkan itu akan memberikan kesan mendalam terhadap pembinaan jiwa dan sahsiah anak-anak. Hasilnya, maka akan lahirlah masyarakat yang harmoni, berkasih sayang dan hidup dalam aman dan damai.

ARTIKEL YANG SAMA