Perbanyakan selawat ke atas Nabi

Perbanyakan selawat ke atas Nabi

Oleh Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Umat Islam di seluruh dunia akan memperingati hari kelahiran Rasulullah S.A.W yang dikenali sebagai Maulidur Rasul yang disambut atau diraikan pada setiap 12 Rabiulawal tahun Hijrah.

Umat Islam di Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan memperingati kelahiran Baginda S.A.W dengan pelbagai acara keagamaan seperti Majlis Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid seluruh negara, majlis ceramah agama dan acara kemuncak Perarakan Maulud Nabi S.A.W peringkat negara.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini berkata, bahawa kesemua acara tersebut diadakan sebagai tanda kasih terhadap Baginda S.A.W dan juga bagi menambahkan penghayatan beragama serta mensyiarkan kemuliaan Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah SWT.

“Allah SWT memerintahkan umatnya supaya mencintai dan mengasihi Rasulullah S.A.W dengan mengikuti sunnah yang dibawanya. Salah satu cara untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah S.A.W adalah dengan membanyakkan bacaan selawat kepadanya,” jelas Khatib.

Sesungguhnya selawat adalah doa yang merupakan sanjungan kepada kebesaran Rasulullah S.A.W agar Baginda selalu mendapat limpah rahmat dari Allah S.W.T. Maka dengan itu berselawatlah dengan niat yang ikhlas dan janganlah berselawat hanya semata-mata untuk meraih kelebihan-kelebihan yang akan diperoleh.

“Selawat adalah salah satu amalan yang mulia yang pasti mendapat ganjaran dari Allah SWT. Perlu kita fahami apabila nama Nabi Muhammad S.A.W disebut, sayugialah kita mengucapkan selawat ke atas Baginda S.A.W,” tambahnya lagi.

Mereka yang tidak mengucapkan selawat apabila mendengar nama Baginda disebut adalah tergolong orang yang sangat hina dalam ertikata bakhil kedekut.

Sesungguhnya banyak ganjaran syafaat diperolehi nanti di akhirat bagi orang yang sentiasa melazimkam dirinya berselawat.

Sambutan Maulidur Rasul di Negara Brunei Darussalam akan bermula pada 12 Rabiulawal 1437 bersamaan 24 Disember 2015M dengan Dikir Syarafil Anam di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

“Maka marilah kita sama-sama hadir bagi menyemarakkan sambutan Maulud Nabi S.A.W dan memperbanyakkan selawat kepada Baginda S.A.W, semoga dengannya kita akan mendapat syafaat Baginda S.A.W di akhirat kelak,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA