Perbanyakkan amalan sunat

Perbanyakkan amalan sunat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept –Umat Islam diciptakan di dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dan sebagai umatNya yang setia, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya agar menjadi hamba yang dikasihi dan diredai.

Dalam usaha menghampirkan diri kepada Allah, umat Islam hendaklah melaksanakan dan mengutamakan perkara wajib di samping memperbanyakkan ibadah sunat.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai ibadah sunat yang antaranya ialah sembahyang sunat, puasa sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, berzikir, melakukan ibadah korban dan sebagainya.

Menurutnya, Allah S.W.T sangat mengasihi dan mencintai hambaNya yang melakukan ibadah-ibadah sunat ini. Dan antara yang sangat dituntut ialah ibadah korban yang turut disukai oleh Rasulullah S.A.W di mana Baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabatnya untuk melaksanakan ibadah korban kerana ia banyak hikmah dan kelebihannya.

Melaksanakan ibadah korban mendapat ganjaran besar daripada Allah S.W.T dan ia juga melahirkan rasa syukur terhadap nikmat hidup yang diberikan.

Ibadah korban juga dapat memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat di samping mengeratkan tali persaudaraan sesama Muslim melalui pengagihan daging-daging korban tersebut, tambah khatib.

“Alhamdulillah Negara Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha dengan melaksanakan ibadah korban seperti di masjid-masjid, surau, balai ibadat, pejabat mahupun di rumah persendirian,” katanya.

Khatib turut menjelaskan semenjak tahun 1997, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan melaksanakan ibadah korban di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah sejurus selepas sembahyang sunat Aidiladha.

Tahun ini, ibadah korban sunat Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja diteruskan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang diadakan julung-julung kalinya di Istana Nurul Iman.

Kedua-dua acara tersebut diserikan dengan gema laungan takbir Hari Raya.

Bagi menepati seruan Rasulullah S.A.W. supaya memperbanyak zikir dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah termasuk Hari Raya Aidiladha sebagai hari yang berfadilat besar dengan memperbanyakkan amalan ibadat dan amal kebajikan.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman itu adalah satu syiar Islam dan penghayatan beragama menurut cara dan calak keBruneian di mana ia merupakan manifestasi kesyukuran kepada Allah yang mengizinkan berkehidupan aman damai saling bersefahaman khasnya saling mendukung antara raja dengan rakyat. Hal ini menunjukkan kepada kita, raja yang kita kasihi sangat mengambil berat perkara kebajikan di samping ia juga dapat menanamkan roh keimanan kepada orang-orang Islam supaya mengambil contoh yang ditujukan oleh Baginda selaku Ulil Amri, tambah khatib.