Perbanyakkan kajian, penulisan sejarah Brunei

Perbanyakkan kajian, penulisan sejarah Brunei

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Menteri Pendidikan hari ini menggesa supaya lebih banyak lagi kajian mendalam dan bahan penulisan mengenai sejarah Brunei dihasilkan melalui aktiviti pendokumentasian yang teratur di setiap peringkat pengajian.

Ini kerana dokumentasi sejarah yang bernilai tinggi boleh menjadi warisan dan rujukan generasi masa depan, kata Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menghasilkan Klip Video Dokumentari Sejarah Kesultanan Brunei Bagi Pelajar Sekolah Menengah Kerajaan dan Swasta Senegara Tahun 2015 dan Pelancaran Buku Sejarah Sultan-sultan Brunei, yang berlangsung di hotel Rizqun International, Gadong hari ini, beliau berkata, projek itu sangat bertepatan dalam usaha mengukuhkan semangat jati diri dalam diri setiap rakyat dan penduduk di negara ini, terutama generasi muda.

Mengimbas kembali beberapa peristiwa sejarah yang menunjukkan kegigihan orang Brunei berjuang pada zaman dahulu, Yang Berhormat Pehin berkata: “Kini generasi muda sedang diuji dengan cabaran dan perubahan daripada pelbagai aspek kehidupan ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya.

“Perubahan dan cabaran ini apabila tidak segera ditangani dengan serius mungkin akan membawa kesan yang lebih besar kepada landskap kehidupan generasi.”

Menteri Pendidikan melancarkan buku Sejarah Sultan-sultan Brunei.
Menteri Pendidikan melancarkan buku Sejarah Sultan-sultan Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama juara pertandingan iaitu kumpulan dari Mahad Islam Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bergambar ramai bersama juara pertandingan iaitu kumpulan dari Mahad Islam Brunei.

Beliau seterusnya menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan supaya dapat menerapkan nilai-nilai patriotisme dan jati diri di kalangan para pelajar dan disuburkan sejak dari kecil lagi.

Ujarnya, usaha begitu dapat melahirkan warga Negara Brunei Darussalam yang peka akan sejarah negara dan bangsanya serta menjadi benteng kepada ketahanan diri mereka.

Menurut Yang Berhormat Pehin, pengetahuan sejarah yang akan diperoleh melalui pembacaan, seperti yang terkandung dalam buku Sejarah Sultan-sultan Brunei, akan mampu menambah pengetahuan, membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik dengan membina, menghujah dan menyelidik, yang dapat menyumbang dalam melahirkan pelajar yang holistik selaras dengan misi Kementerian Pendidikan.

Ke arah matlamat itu, Kementerian Pendidikan telah berusaha menerapkan dan memupuk semangat dan nilai-nilai itu dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum di semua peringkat sekolah.

Beliau menegaskan, pengenalan mata pelajaran Social Studies di Tahun 4, 5 dan 6 merupakan satu pendekatan bersepadu yang mengintegrasikan pengetahuan sejarah, geografi, ekonomi, keusahawanan, alam sekitar dan mata pelajaran lain.

Melalui kesepaduan mata pelajaran tersebut diharap para pelajar akan dapat diperkaya dengan konsep kefahaman secara menyeluruh dan juga dapat melihat sesuatu perkara daripada pelbagai sudut.

Menurutnya juga, di peringkat menengah pula, mata pelajaran Sejarah masih menjadi pilihan dan sungguhpun para pelajar menunjukkan minat dan fokus terhadap mata pelajaran Sejarah, para guru diseru supaya terus berusaha untuk meningkatkan minat lebih ramai lagi pelajar agar mengikuti mata pelajaran itu, serta mempelbagaikan lagi kaedah pengajaran.

Pada pertandingan itu, kumpulan dari Mahad Islam Brunei yang menghasilkan klip video bertajuk Perkembangan Agama Islam Pada Era Sultan Omar ‘Ali Saifuddien III telah memenangi tempat pertama, manakala Sekolah Menengah Pehin Dato Seri Maharaja yang menghasilkan klip video bertajuk Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950) mendapat tempat kedua dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit dengan klip video bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Agama di Negara Brunei Darussalam menduduki tempat ketiga.

Juara pertandingan menerima hadiah wang tunai $1,000 dan sijil, manakala naib juara menerima $700 dan sijil, tempat ketiga menerima hadiah wang tunai $500 dan sijil, sementara itu dua pemenang sagu hati iaitu Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan masing-masing menerima $200 dan sijil.

Serentak diadakan pada majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dengan kelolaan Jabatan Perkembangan kurikulum, Kementerian Pendidikan itu ialah pelancaran Buku Sejarah Sultan-sultan Brunei yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA