Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah

Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah

Oleh Syahmi Hassan & Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Umat Islam di negara ini diseru untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W untuk mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T sepanjang sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W sehingga acara kemuncak secara besar-besaran dan serentak di seluruh negara pada 12 Rabiulawal 1437 Hijrah, bersamaan dengan 24 Disember 2015 Masihi bermula jam 7 pagi.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada majlis perjumpaan dan taklimat sambutan di peringkat negara bersama wakil-wakil ketua pasukan yang berlangsung di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin menekankan sambutan juga mampu mengimbas semula perjuangan dan kehidupan suci Rasulullah S.A.W, sekali gus memuliakan kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, perarakan sambutan Maulud Nabi tahun ini akan disertai 12,499 orang dan mengingatkan peserta berdaftar supaya hadir tepat pada waktu yang ditetapkan di padang di daerah masing-masing.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin (tengah) semasa menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan dan taklimat itu, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin (tengah) semasa menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan dan taklimat itu, kelmarin.

Perjumpaan dan taklimat dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W Peringkat Negara tahun ini dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid.

Taklimat antara lain menerangkan mengenai format perarakan kepada ketua-ketua pasukan yang mengambil bahagian semasa perhimpunan dan perarakan.

Seperti lazimnya, kemuncak sambutan di peringkat negara ialah perhimpunan dan perarakan yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Sementara itu, di Daerah Belait acara berkenaan akan diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan Kuala Belait dan di Daerah Tutong pula diadakan di Padang Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong. Manakala Daerah Temburong pula di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Timbalan Setiausaha Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam Peringkat Negara 1437 Hijrah, Awang Haslin bin Haji Mohd Noor menyatakan sebanyak 114 buah pasukan akan menyertai perarakan Maulud Nabi.

Beliau juga menjelaskan mengenai laluan yang akan dilalui ketika perarakan tersebut iaitu sepanjang 3.7 kilometer.

Pada tahun ini, perhimpunan, perarakan dan perbarisan akan dipertandingkan dan dibahagikan kepada lima kategori iaitu Kategori Pasukan Tidak Bernombor, Kategori Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi/Swasta, Kategori Kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan, Kategori Persatuan-persatuan dan Sektor Swasta serta Kategori Kampung dan Masjid.

Turut menyampaikan taklimat ialah wakil-wakil agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Istiadat Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bandaran, Pengerusi Bersama Bahagian Kenderaan dan Pengangkutan, serta Pengerusi Bahagian Penghakiman Perbarisan dan Perarakan.

Menerusi taklimat itu, wakil ketua-ketua pasukan diharap dapat mengambil perhatian mengenai perkara-perkara yang berbangkit bagi memastikan perjalanan perhimpunan dan perarakan pada tahun ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna seperti yang dihasratkan.

ARTIKEL YANG SAMA