Perbelanjaan di Singapura berkurang pada 2015

Perbelanjaan di Singapura berkurang pada 2015

SINGAPURA, 29 Feb (Bernama) – Singapura mencatatkan penurunan 26 peratus daripada perbelanjaan beli-belah pelancong Malaysia tahun lepas berbanding 2014, demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini.

Selain Malaysia, penurunan itu turut dicatatkan oleh pasaran Indonesia (21 peratus) dan Australia (10 peratus), menurut badan itu dalam kenyataan di sini.

Pasaran berkenaan mengalami cabaran ekonomi dan penyusutan mata wang masing-masing berbanding dolar Singapura.

Oleh itu, jumlah kehadiran pelancong serta perbelanjaan beli-belah pelancong dari pasaran tersebut berkurangan, menurutnya.

Bagi ringgit, ia susut hampir 25 peratus berbanding dolar Singapura sejak tiga tahun lepas.

Menurut STB, berdasarkan anggaran awal, jumlah perbelanjaan beli-belah pelancong secara keseluruhannya susut 6.8 peratus kepada S$22.0 bilion (S$1=RM3.00) tahun lepas.

Pasaran paling berkembang dari segi perbelanjaan beli belah pelancong ialah Jepun (enam peratus) dan United Kingdom (empat peratus).

Bagi kehadiran pelancong antarabangsa, penurunan paling banyak dicatatkan oleh pasaran Indonesia (10 peratus), Malaysia (lima peratus), Jepun (empat peratus) dan Australia (tiga peratus).

Menurut badan itu, faktor makro-ekonomi termasuk penyusutan mata wang dan unjuran ekonomi yang tidak menentu telah menjejaskan sentimen pelancongan luar negara.

Pasaran paling berkembang dari segi kehadiran pelancong pada 2015 ialah China (22 peratus), India (tujuh peratus), Korea Selatan (tujuh peratus) dan Taiwan (12 peratus).