Perbelanjaan dijangka meningkat

Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak $28 juta daripada kira-kira $46 juta perbelanjaan, untuk pembelian ubat bagi pesakit-pesakit menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam Tahun Kewangan 2016/17 yang dianggarkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan ubat-ubatan.

Perbelanjaan ini dijangka akan meningkat jika jumlah pesakit NCD bertambah atau seorang pesakit mempunyai pelbagai penyakit NCD misalnya darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung. Ini bermakna pesakit itu akan memerlukan pelbagai ubat (polypharmacy).

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Jaafar dalam menjawab persoalan yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Dayang Hafimi binti Abdul Haadii mengenai faktor-faktor yang menghalang atau cabaran yang dihadapi negara dalam memerangi kebangkitan NCD, pagi tadi.

Yang Berhormat Dato berkata, cabaran yang dihadapi dalam pemberian ubat-ubatan kepada pesakit NCD adalah kepatuhan pesakit dalam pengambilan ubat-ubatan yang diberikan dengan teratur seperti yang disarankan.

“Daripada dapatan jumlah ubat-ubatan yang dikembalikan oleh pesakit ke farmasi di seluruh negara pada tahun 2017 adalah sejumlah $281,799.01, satu petanda yang sebahagian pesakit tidak mengambil ubat seperti yang arahkan.

Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham.

“Kepatuhan pesakit terhadap rawatan ubat juga berkemungkinan berkaitan dengan status literasi kesihatan (health literacy) individu berkenaan. Bagi pesakit yang memahami akan risiko terhadap penyakit dan kebaikan rawatan yang diberikan akan mematuhi pengambilan ubat-ubatan dengan betul dan lebih teratur seperti yang diarahkan oleh pegawai perubatan,” tekan Yang Berhormat Dato.

Dalam menangani bilangan pesakit NCD yang meliputi semua peringkat umur, beliau berkata, kementeriannya juga memerlukan peningkatan bilangan kakitangan yang mempunyai kepakaran dalam menangani isu-isu NCD.

Ini termasuklah pakar-pakar perubatan daripada kalangan anak tempatan dan kakitangan luar negeri.

Menurut beliau lagi, pihak kerajaan juga telah banyak membelanjakan dalam pendidikan berhubung NCD bukan sahaja di hospital dan klinik kesihatan, malahan di sekolah-sekolah, pejabat kerajaan dan swasta, kampung-kampung dan di mana sahaja yang kakitangan kementerian berkenaan boleh menyampaikan perlunya mengelakkan penyakit tidak berjangkit.