Perbelanjaan keluarga, inflasi Jepun lembap

Perbelanjaan keluarga, inflasi Jepun lembap

TOKYO, 29 Mei (AFP) – Perbelanjaan seisi rumah Jepun dengan tidak dijangka merosot pada April manakala inflasi dan pengeluaran kilang juga lembap, beberapa siri data menunjukkan hari ini, sekali gus memburukkan lagi kebimbangan mengenai ekonomi ketiga terbesar dunia.

Angka tersebut keluar tatkala ahli ekonomi mengingatkan Jepun mungkin melihat suku kedua yang lemah, ekoran pengembangan lebih baik daripada dijangka sebanyak 0.6 peratus – atau 2.4 peratus pada kadar tahunan – ketika tiga bulan pertama tahun itu.

Perbelanjaan keluarga masih lemah tatkala Bank Jepun bergelut untuk menambah harga dalam usaha untuk menamatkan deflasi barangan selama beberapa dekad dan memulakan ekonomi yang meleset.

Meskipun kenaikan gaji di firma besar dan pasaran pekerjaan yang lebih ketat, memujuk orang untuk membelanjakan ke atas barangan pengguna adalah satu cabaran selepas Jepun menambah cukai jualan pada tahun lalu untuk membantu membayar hutang negara.

Pertambahan tersebut menjejaskan perbelanjaan pengguna dan menjerumuskan ekonomi ke dalam kemelesetan. Pada hari ini, kementerian hal ehwal dalam negara berkata perbelanjaan keluarga – pengukur penggunaan persendirian – merosot 1.3 peratus berbanding setahun lalu, kemerosotan bulan ke-13 berturut-turut.

Seorang wanita berjalan melintasi sebuah butik di Tokyo pada 29 Mei. Perbelanjaan seisi rumah Jepun dan inflasi merosot pada April. – AFP
Seorang wanita berjalan melintasi sebuah butik di Tokyo pada 29 Mei. Perbelanjaan seisi rumah Jepun dan inflasi merosot pada April. – AFP

Kemerosotan adalah mengejutkan memandangkan pasaran menjangkakan perbelanjaan akan meningkat untuk kali pertama sejak Tokyo menambah cukai jualan pada April 2014. “Penggunaan belum berpulih kepada tahap sebelum kenaikan cukai,” kata Takeshi Minami, ketua ahli ekonomi di Institut Penyelidikan Norinchukin.

“Dengan tenaga kerja berkurangan, terdapatnya tekanan ke atas gaji dan seterusnya inflasi jika ekonomi berkembang. “Jepun kini berada di persimpangan mengenai sama ada kitaran ini bermula atau tidak.”

Inflasi utama, tidak termasuk harga makanan segar, mencecah 0.3 peratus, mengatasi jangkaan pasaran untuk pertambahan sebanyak 0.2 peratus namun masih jauh daripada sasaran Bank Jepun sebanyak 2.0 peratus. Tidak termasuk kesan berlarutan kenaikan cukai pada tahun lalu, inflasi adalah pada sekitar sifar.

Penganalisis berkata penggubal dasar bank pusat hampir dipaksa menambah skim pelonggaran mata wang BoJ untuk menaikkan harga dan memerangi kemelesetan dalam ekonomi.

Inflasi yang berkekalan adalah kempen asas Perdana Menteri Shinzo Abe untuk memulihkan harga yang merosot bertahun-tahun lamanya.

ARTIKEL YANG SAMA