Perbelanjaan kerajaan S’pura meningkat

Perbelanjaan kerajaan S’pura meningkat

SINGAPURA, 24 Mac (Bernama) – Perbelanjaan kerajaan Singapura bagi tahun ini meningkat 7.3 peratus atau S$5 bilion (S$1=RM2.95) berbanding tahun lepas.

Ketika membentangkan Bajet 2016 di Parlimen hari ini, Menteri Kewangannya, Heng Swee Keat berkata sebahagian besar peningkatan itu membabitkan aspek penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan serta pembangunan bandar.

Bajet itu turut menyenaraikan tiga teras bagi menangani cabaran ekonomi republik berkenaan.

Ini termasuk mengatasi kelemahan berkitar yang sebahagiannya akan ditangani menerusi pelaksanaan pendekatan pengembangan fiskal.

Menurut Heng, dengan mengambil kira peningkatan perbelanjaan serta langkah tambahan yang diperkenalkan dalam belanjawan berkenaan, ia diunjurkan akan memberi impak fiskal positif lebih satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Seorang wanita berjalan keluar untuk makan tengah hari daerah kewangan Raffles Place di Singapura. Perbelanjaan kerajaan Singapura bagi tahun ini meningkat 7.3 peratus berbanding tahun lepas, di mana sebahagian besar peningkatan itu membabitkan aspek penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan serta pembangunan bandar. – AFP
Seorang wanita berjalan keluar untuk makan tengah hari daerah kewangan Raffles Place di Singapura. Perbelanjaan kerajaan Singapura bagi tahun ini meningkat 7.3 peratus berbanding tahun lepas, di mana sebahagian besar peningkatan itu membabitkan aspek penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan serta pembangunan bandar. – AFP

“Usaha itu beserta langkah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, dapat memberi sokongan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau turut menjangkakan jumlah lebih bajet sebanyak S$3.4 bilion atau 0.8 peratus daripada KDNK pada penggal pertama tahun ini.

“Ia bertujuan mengimbangi langkah berhemah berikutan peningkatan perbelanjaan yang kita jangkakan pada tahun-tahun mendatang serta usaha menyokong perusahaan dalam keadaan ekonomi semasa ketika meneruskan usaha penstrukturan semula ini.

“Kita bersedia untuk menyelaras serta memberi reaksi sewajarnya jika perlu berbuat demikian berdasarkan keadaan ekonomi.

“KDNK Singapura dijangka berkembang pada kadar satu hingga tiga peratus tahun ini yang tidak banyak bezanya dengan dua peratus yang dicatatkan pada 2015.

“Oleh itu, dalam keadaan sukar ini kita tidak seharusnya menjadi terlalu pesismis,” katanya.