Perbezaan beragama usah diperselisihkan

Perbezaan beragama usah diperselisihkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Perbezaan yang terdapat dalam kalangan umat yang beragama adalah sunnatullah, masing-masing dengan agama anutannya, dan hal itu tidak layak terus menerus diperselisihkan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, perbezaan sifat, watak dan identiti di antara suatu kaum, bangsa dan umat tidak patut dijadikan faktor permusuhan, sebaliknya tepat dengan tujuan Allah S.W.T untuk jadi faktor saling mengenali dan menghormati perbezaan yang ada itu. Bagaimanapun, dalam sudut lain mengenai kehidupan beragama ini, ada larangan atau tegahan kepada umat Islam daripada tasyabbuh atau menyerupai sesuatu kaum lain.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, larangan atau tegahan itu ialah bertasyabbuh dengan menyerupai sesuatu kaum, yang menjadikan seseorang Islam akan digolongkan kepada kaum yang diserupainya itu dalam perilaku keagamaan.

Ini bererti, mempercayai akidah agama yang dianuti oleh orang lain dan memegang atau menuruti ajaran agama lain itu sambil terus percaya kepada akidah dan berpegang kepada ajaran agama Islamnya, adalah salah, tegas beliau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin 2016, bersempena dengan Majlis Konvokesyen ke-5 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin semasa berucap pada  Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin 2016, di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin semasa berucap pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin 2016, di Dewan Tarbiyyah, KUPU SB, kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, tegahan ke atas umat Islam daripada bertasyabbuh atau menyerupai sesuatu kaum itu adalah pada menyerupai amalan agama mereka dan mempercayai akidah agama mereka.

“Bukan tegahan dalam perkara kehidupan harian biasa yang kita diajarkan untuk saling berbaik-baik dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain, di antara sesama kita yang seagama dan dengan yang tidak seagama, terutama dalam mewujudkan perpaduan sebangsa dan senegara.”

Oleh yang demikian, perbezaan sifat, watak yang berpunca daripada berbeza puak, kaum, bangsa dan agama yang menjadikan keturunan manusia berbeza menurut aturan syir’ah dan cara minhaj, ditentukan oleh Allah S.W.T sebagai sebahagian daripada ujian pada menentukan mutu, kualiti kemanusiaan dengan melakukan amal kebaikan demi kebaikan umat manusia.

Hampir 500 orang menghadiri seminar dua hari bertema ‘Pendidikan Usuluddin Nadi Kesejahteraan Ummah’ berkenaan, yang terdiri daripada para pelajar dari universiti-universiti dan institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara, pelajar dari pusat tingkatan enam serta para jemputan khas yang lain.

Sebanyak 50 kertas kerja dibentangkan oleh pembentang dari KUPU SB, institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta pembentang-pembentang lain.

Manakala itu, kertas kerja perdana telah disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal dengan tajuknya ‘Pendidikan Usuluddin Nadi Kesejahteraan Ummah’.

Seminar antara lain bertujuan untuk mewujudkan kesinambungan dalam penganjuran seminar ilmiah berkait dengan pendidikan usuluddin di Brunei Darussalam, khususnya di KUPU SB di samping dijadikan sebagai wadah kerja dan ilmiah dengan institusi pengajian tinggi di Brunei Darussalam dan luar negara dalam bidang penyelidikan.

Ia juga merupakan peluang untuk membincangkan disiplin ilmu dalam pendidikan usuluddin yang menjadi teras pembangunan kesejahteraan ummah serta memantapkan jati diri, kredibiliti dan Integriti umat Islam menerusi pendidikan usuluddin.