Perbicaraan olok-olok pupuk bakat

Perbicaraan olok-olok pupuk bakat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang, kelmarin, telah mengadakan Perbicaraan Olok-Olok di Auditorium UNISSA.

Hadir menyaksikan perbicaraan olok-olok berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Rektor, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad dan para pegawai utama lain UNISSA.

Menurut kenyataan UNISSA, ini adalah perbicaraan olok-olok pertama yang diadakan di UNISSA, yang mana sebelum ini hanya Moot Trial diadakan.

Perbezaan di antara kedua-duanya adalah, dalam perbicaraan olok-olok para pelajar melakonkan semula kes yang disediakan di dalam skrip manakala Mooting hanya melibatkan penghujahan kes-kes tertentu dan para pelajar akan menyediakan asas-asas penghujahan bagi pertimbangan hakim-hakim Moot.

Kenyataan menambah, program ini juga diadakan bagi meraikan penggazetan kelulusan LLB UNISSA yang telah diterima sebagai ‘kelayakan lain’ di bawah Aturan-aturan Ikhtisas Peguam (Kelayakan Lain) (Pindaan), 2014.

Rektor dan timbalan rektor UNISSA serta para pegawai utama hadir menyaksikan perbicaraan olok-olok berkenaan.
Rektor dan timbalan rektor UNISSA serta para pegawai utama hadir menyaksikan perbicaraan olok-olok berkenaan.
Perbicaraan olok-olok yang diadakan buat kali pertama di UNISSA.
Perbicaraan olok-olok yang diadakan buat kali pertama di UNISSA.

Dengan itu meletakan pemegang-pemegang ijazah ini sebagai ‘Qualified Persons’ di bawah Akta Ikhtisas Peguam (Penggal 132), bagi tujuan untuk membolehkan mereka menjalani ‘pupillage’ selama sembilan bulan sebelum mereka layak diterima masuk menjadi peguam bela dan peguam cara.

Setelah itu, mereka layak untuk berurusan dan beramal guaman di mahkamah-mahkamah sivil di Negara Brunei Darussalam.

Di negara ini, orang-orang yang layak untuk menjadi peguam atau pegawai perundangan hendaklah menepati kehendak Akta Ikhtisas Peguam (Penggal 132).

Orang yang layak digelar ‘Qualified Persons’ menurut bab 3(1) akta tersebut, adalah terdiri daripada seorang ‘Barrister-at-law’ dari England, Ireland Utara atau ahli Faculty of Advocates of Scotland; peguam cara di England, Ireland Utara atau Scotland; yang telah mengamalkan secara aktif sebagai peguam bela dan peguam cara di Singapura atau di mana-mana bahagian di Malaysia; peguam bela, peguam cara atau peguam bela dan peguam cara mahkamah besar mana-mana negeri atau wilayah Australia.

Orang-orang yang tidak disenaraikan di atas boleh menjadi peguam dan pegawai perundangan sekiranya ia memiliki ‘kelayakan lain’ yang diperuntukkan oleh bab 3(2)(3) akta ini.

Kelayakan lain misalnya, menurut Aturan-aturan Ikhtisas Peguam (kelayakan Lain) (mulai 30 Oktober 1999) adalah seperti “The Certificate of Legal Practice issued by the Qualifying Board pursuant of section 5 of the Legal Profession Act, 1976 of Malaysia” dan “degree in law conferred by the Universiti Islam Antarabangsa of Malaysia”.

ARTIKEL YANG SAMA