Perbicaraan Yingluck bermula

Perbicaraan Yingluck bermula

BANGKOK, 15 Jan (AFP) – Perdana Menteri Thailand yang disingkirkan, Yingluck Shinawatra dibicarakan hari ini berhubung dasar subsidi mahal beras yang boleh menyaksikan dia dipenjarakan selama sedekad, ketika junta yang memerintah cuba mencegah pengembalian politik oleh keluarganya.

Yingluck, perdana menteri wanita pertama Thailand, disingkirkan oleh mahkamah beberapa hari sebelum ketua tentera Prayut Chan-O-Cha merampas kuasa pada Mei 2014.

Dia berdepan dakwaan kecuaian berhubung skim subsidi berbilion-bilion dolar yang membayar para petani sehingga dua kali kadar pasaran bagi tanaman mereka.

Para pengkritik berkata skim itu dengan sinis mengambil tabung kerajaan untuk menopang asas politik Shinawatra, menambah rasuah dan membawa kepada simpanan besar beras.

Tetapi Yingluck masih popular dan disambut oleh berbelas-belas penyokong di mahkamah, sebilangan mereka memakai baju merah, membawa bunga ros dan melaungkan “Kami Sayang Yingluck.”

Mereka berhimpun walau mengingkari tegahan pertemuan politik yang dikenakan oleh junta yang telah bertindak keras ke atas mereka yang setia kepada Shinawatra.

Yingluck memberitahu para penyokong dia ‘yakin’ tuduhan ke atasnya disangkal mahkamah.

Dia tidak dijangka bercakap di mahkamah hari ini.

Yingluck menolak sebarang salah laku, dengan mengatakan subsidi beras bertujuan membantu petani-petani miskin selepas beberapa dekad diabaikan oleh elit kaya Bangkok.