Perbincangan TPPA tingkat minat di kalangan ASEAN

Perbincangan TPPA tingkat minat di kalangan ASEAN

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) – Walaupun berlaku bantahan oleh kumpulan tertentu, perbincangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik meningkat dengan minat yang semakin bertambah yang ditunjukkan oleh beberapa negara ASEAN.

Indonesia dan Filipina telah menyatakan minat menyertai kumpulan perdagangan itu bagi mengikut jejak langkah Malaysia, Brunei, Singapura dan Vietnam, manakala Thailand dilapor sedang mempertimbangkannya.

Anggota lain TPPA termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia, Jepun, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru dan Chile.

Walaupun Indonesia berharap untuk menyertai perjanjian tersebut, Menteri Perdagangan, Thomas Trikasih Lembong berkata, negara itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mengkaji dokumen 6,000 muka surat itu dan menilai kesan ke atas ekonominya.

Presiden Filipina, Benigno Aquino III pula dilaporkan berkata, negara itu akan mempertimbang menyertai TPPA kerana perjanjian itu akan menawarkan pasaran yang jauh lebih besar.

Obama ketika bercakap kepada media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 2015, di sebuah hotel di sini. - Bernama
Obama ketika bercakap kepada media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 2015, di sebuah hotel di sini. – Bernama

TPPA akan mewujudkan gabungan penduduk kira-kira 800 juta – hampir dua kali ganda daripada pasaran tunggal Kesatuan Eropah dan blok 12 negara itu menyumbang 40 peratus daripada perdagangan global.

Jika perjanjian itu dimetrai, TPPA akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dan dijangka menambah lebih US$200 bilion setahun kepada ekonomi global menjelang 2025.

Presiden AS, Barack Obama yang berada di Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berkata, ekonomi Asia Tenggara akan rugi jika mereka tidak menyertai perjanjian perdagangan bebas mega itu kerana kebanyakan ekonomi terlibat sangat bergantung kepada perdagangan.

“TPPA bukan setakat satu perjanjian perdagangan, ia juga mempunyai nilai strategik dan geopolitik yang penting.”

ARTIKEL YANG SAMA