Percaturan Wenger tak menjadi

Percaturan Wenger tak menjadi

LONDON, 1 Dis – Tindakan pengurus Arsenal, Arsene Wenger melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuadnya ketika bertemu Southampton, memakan diri apabila tewas 2-0 sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Wenger yang berharap untuk menjulang trofi Piala Liga buat kali pertama melakukan 10 perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding perlawanan terdahulu dengan kekalahan kepada Southampton turut menamatkan rentetan 19 perlawanan tanpa kalah kelab bimbingannya.

Pemain tengah Belanda, Jordy Clasie meletakkan pelawat di depan menerusi tandukan pada minit ke-13 sebelum pemain sayap England, Ryan Bertrand menambah gol kedua, tujuh minit sebelum babak pertama berakhir.

“Saya menikmati kemenangan ini bagi keseluruhan skuad dan juga peminat kerana ia adalah jawapan yang baik di mana kami masih berpeluang dalam semua kejohanan,” kata pengurus Southampton, Claude Puel.

“Kami bermain dengan baik dan layak ke pusingan seterusnya adalah amat penting. Kini kami perlu beraksi di separuh akhir dan ia sesuatu yang hebat bagi semua pemain.”

Reaksi Pasukan Southampton kepada para penyokongnya selepas berjaya menewaskan Arsenal 2-0 semalam. – AP
Reaksi Pasukan Southampton kepada para penyokongnya selepas berjaya menewaskan Arsenal 2-0 semalam. – AP
Reaksi Wenger ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Southampton di Stadium Emirates, London, semalam. – AP
Reaksi Wenger ketika menyaksikan perlawanan antara pasukannya menentang Southampton di Stadium Emirates, London, semalam. – AP

Kejayaan Southampton mara ke separuh akhir adalah yang pertama sejak 29 tahun lalu dan tugas mereka tambah mudah selepas Arsenal menukar 10 berbanding skuad yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth, Ahad lalu.

Satu-satunya pemain yang kekal ialah Mohamed Elneny namun dia turut terpaksa digantikan dengan Granit Xhaka sebelum babak pertama kerana tidak sihat.

Ia adalah kekalahan pertama Arsenal sejak tewas 4-3 kepada Liverpool juga di laman sendiri, Emirates pada minggu pembukaan Liga Perdana Inggeris.

“Kami tidak mempunyai gesaan yang cukup pada babak pertama,” kata Wenger.

“Kami lemah dalam beberapa bahagian dan kami terpaksa membayarnya.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA