Percaya dan bersemangat

Percaya dan bersemangat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Meskipun jangka waktu untuk membuat persiapan sangat singkat, ianya tidak menjadi penghalang untuk melatih para pemain Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk beraksi dengan baik pada pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF 2016 yang akan diadakan di Phnom Penh nanti.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Ali Mustafa ketika mengulas mengenai persiapan skuad negara bagi menyertai perlawanan tersebut yang akan bermula pada 15 hingga 21 Oktober ini.

“Saya tidak mahu mengukur pasukan kita dengan pasukan lain kerana pada saya apa yang penting adalah kebolehan dan pencapaian kita dan saya yakin pemain akan mempamerkan keyakinan tinggi dalam kejohanan ini nanti,” tegasnya.

Mengulas mengenai kelebihan yang kita ada adalah daripada aspek pemain yang cemerlang di dalam Liga DST dan pasukan Brunei DPMM FC dan dengan gabungan ini dihasratkan akan dapat menghasilkan serangan dan jaringan dalam kejohanan nanti.

“Pada perlawanan persahabatan minggu lalu, kami fokus kepada posisi dan penyatuan pemain sebagai satu unit,” tambahnya.

Latihan skuad negara di Padang NFABD sambil diperhati oleh Mike Wong sehari sebelum berlepas ke Phnom Penh bagi menyertai Piala AFF Suzuki 2016.
Latihan skuad negara di Padang NFABD sambil diperhati oleh Mike Wong sehari sebelum berlepas ke Phnom Penh bagi menyertai Piala AFF Suzuki 2016.
Tiga orang penjaga gol negara giat berlatih di bawah bimbingan Pengiran Haji Hamzah (kiri).
Tiga orang penjaga gol negara giat berlatih di bawah bimbingan Pengiran Haji Hamzah (kiri).
Haji Mohd Noor ditemu bual media semasa latihan terakhir skuad negara sebelum bertolak ke Phnom Penh.
Haji Mohd Noor ditemu bual media semasa latihan terakhir skuad negara sebelum bertolak ke Phnom Penh.

Beliau menyatakan harapan supaya para pemain akan menunjukkan persembahan yang baik dan untuk kejohanan ini nanti pasukan negara akan berlatih di Stadium Olimpik Kemboja.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Kebangsaan, Haji Mohd Noor pula menegaskan persiapan sudah dibuat daripada aspek kecergasan dan teknik dan kini terpulang kepada pemain untuk merangka permainan.

Beliau turut menyatakan harapan supaya pemain tidak akan terlibat dengan kecederaan dan semua perancangan akan berjalan lancar pada perlawanan pada Sabtu ini, 15 Oktober menentang Pasukan Timor Leste.

Pada perlawanan lainnya, pasukan negara akan bertemu dengan Pasukan Kemboja pada hari Selasa, 18 Oktober dan seterusnya akan bertemu dengan Pasukan Laos pada hari Jumaat, 21 Oktober.

Mengulas lagi mengenai latihan, menurutnya ia banyak dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu dan pengalaman yang dikongsi oleh pemain Brunei DPMM FC akan mampu memberi suntikan semangat kepada barisan pemain baru.

ARTIKEL YANG SAMA