Percubaan kedua gagal

Percubaan kedua gagal

SEOUL, 28 April – Korea Utara hari ini telah mencuba dan gagal dalam apa yang nampaknya percubaan kedua dalam dua minggu untuk menguji peluru berpandu balistik jarak sederhana, kata kementerian pertahanan Korea Selatan.

Seorang pegawai kementerian berkata Utara telah menembak apa yang dipercayai merupakan peluru berpandu Musudan pada kira-kira pukul 6:40 pagi dari Wonsan di pantai timur, tetapi ia terjatuh semula ke bumi beberapa saat selepas dilancarkan.

“Ia dipercayai telah gagal,” beritahu pegawai kepada AFP.

Terdapatnya laporan risikan dalam beberapa hari ini yang mengatakan Utara sedang bersedia untuk mengadakan satu lagi ujian Musudan, yang berupaya menyerang pangkalan AS di pulau Pasifik Guam.

Korea Utara pada mulanya melancarkan Musudan pada 15 April, hari jadi pemimpin pengasas Kim Il-Sung, tetapi latihan itu berakhir dalam apa yang digambarkan oleh Pentagon sebagai kegagalan “yang membawa bencana,” dengan peluru berpandu jelasnya meletup selepas dilancarkan.

Ujian yang gagal itu berlaku tatkala negara bersedia untuk mengadakan kongres parti pemerintah pada bulan depan, di mana Kim Jong-Un dijangka menerima pujian kerana membawa program senjata nuklear negara ke tahap baru.

Timbulnya kebimbangan meningkat bahawa Pyongyang sedang bersedia untuk menjalankan ujian nuklear kelima sebelum mesyuarat yang akan bermula pada 6 Mei.

Dalam beberapa bulan ini, Utara telah mendakwa beberapa siri kejayaan teknikal dalam menghasilkan apa yang dilihatnya sebagai matlamat utama program senjata nuklear – peluru berpandu balistik antara benua yang berupaya membawa kepala peluru nuklear untuk mensasarkan Amerika Syarikat.

Pencapaian yang diheboh-hebohkan oleh Pyongyang termasuk mengecilkan kepala peluru nuklear untuk dipasang pada peluru berpandu, menghasilkan kepala peluru yang boleh bertahan kemasukan semula atmosfera dan membina enjin peluru berpandu bahan api pepejal. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA