Percubaan seludup rokok dipatahkan

Percubaan seludup rokok dipatahkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni pada Jumaat lepas menjalankan rondaan di kawasan sungai bersama dengan anggota Polis Marin di kawasan Sungai Riong berdekatan kawasan Putat.

Pada jam 4.10 pagi, sebuah perahu yang mencurigakan telah melintasi sungai Terusan Kupang lalu dikejar oleh anggota polis. Perahu suspek dipercayai menghala/ menuju ke Sungai Butir.

Dalam satu kenyataan, Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abd Rahman, berkata perahu suspek kemudian dapat di pintas, tetapi suspek terus menghala ke kawasan darat lalu mendamparkan perahu dan terjun lalu melarikan diri ke dalam hutan. Jumlah suspek dipercayai seramai dua hingga tiga orang.

Menurutnya anggota polis juga terus mendarat dan cuba untuk menjejak suspek, sementara pengawasan perahu suspek terus dipantau oleh anggota polis, bagaimanapun setelah kira-kira 30 minit menjejak, suspek tidak berhasil ditemui.

Sepuluh kotak besar mengandungi pelbagai jenis rokok.
Sepuluh kotak besar mengandungi pelbagai jenis rokok.

Hasil siasatan awal mendapati di dalam perahu suspek terdapat 10 kotak besar yang dipercayai barang seludup. Perahu suspek kemudian ditunda ke Polis Marin.

Hasil siasatan lanjut didapati 10 kotak besar tersebut mengandungi pelbagai jenis rokok. Siasatan juga mendapati satu set penerima siaran Astro jenama Njoi.

Sehubungan itu Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan orang ramai supaya jangan terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan memberikan sebarang kerjasama kepada penjenayah jika ada sebarang penglibatan penyeludupan di kawasan mereka.

Orang ramai bolehlah menghubungi polis melalui talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis berdekatan.