Percutian keluarga hampir jadi tragedi

Percutian keluarga hampir jadi tragedi

LABUAN, 31 Dis (Bernama) – Pelayaran percutian satu keluarga dari Britain hampir menjadi tragedi apabila bot katamaran mereka hanyut di laut bergelora hampir 10 jam di sekitar perairan Labuan pada Rabu.

Pasangan suami isteri bersama dua anak perempuan itu sedang dalam pelayaran dari Serasa Yatch Club, Brunei menjelajah perairan Brunei apabila bot mereka mengalami kerosakan pada kedudukan 4.2 batu nautika di Pulau Kuraman di perairan Labuan pada hari yang sama.

“Keluarga dari England itu terkandas di laut bergelora apabila bot katamaran mereka mengalami masalah kebocoran dan kerosakan enjin di perairan Malaysia berhampiran Labuan,” kata Kapten Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Che Adnan Mohd Isa, hari ini.

Beliau berkata keluarga itu dipercayai berlepas dari kelab kapal persiaran Brunei pada pukul 1 pagi, tetapi menghadapi masalah kerosakan enjin menyebabkan bot mereka hanyut ke Pulau Pilong-Pilongan di luar pesisir Brunei dan diselamatkan polis marin Brunei pada pukul 10 pagi.

Katanya, APMM Labuan menerima maklumat mengenai bot katamaran itu pada pukul 1:45 pagi dan terus melancarkan operasi mencari serta-merta.

“Peronda kami berada berhampiran dan bertindak balas segera melakukan operasi mencari dan menyelamat dan dimaklumkan bahawa katamaran itu berjaya ditemui pada kedudukan dua batu nautika di Tanjung Batu berhampiran Pulau Pilong-Pilongan oleh polis marin Brunei dan ditunda ke Serasa Yatch Club oleh kapal lain. Tidak ada kecederaan dilaporkan,” jelas beliau.

Sementara itu, APMM Labuan turut menyelamat kapal pukat tunda nelayan yang hanyut di pesisir Pulau Pelumpong di perairan Brunei. Kapal dari Labuan bersama lima awak-awak dan seorang juragan menghadapi masalah enjin sedang dalam pelayaran menguji enjin pada 28 Disember.

“Kapal itu dihanyut di laut bergelora pada pukul 3:55 pagi dan kami telah bertindak segera menghantar bot operasi untuk mencari dan menyelamat,” katanya.

Kapal tunda bersama awak-awak dan juragannya ditemui selamat pada pukul 5:05 pagi dan ditunda ke jeti polis marin Brunei pada pukul 7:36 pagi hari yang sama.