Perdagangan AS-India boleh cecah AS$500b

Perdagangan AS-India boleh cecah AS$500b

NEW YORK, 16 Sept (Bernama) – Berdasarkan potensi besar yang belum diterokai dalam perdagangan dua hala antara Amerika Syarikat (AS) dan India, ia boleh meningkat daripada AS$100 bilion pada masa ini kepada AS$500 bilion, kata pegawai kanan Amerika Syarikat.

“Kami mempunyai jumlah dagangan dua hala melebihi AS$100 bilion, tetapi memandangkan terdapat bidang yang mempunyai potensi besar dan belum diterokai, perdagangan boleh meningkat daripada paras itu kepada matlamat kami sebanyak AS$500 bilion.

“Kedua-duanya, India dan AS mahu meningkatkan perdagangan lima kali ganda kepada AS$500 bilion setahun,” kata Setiausaha Rendah Perdagangan Antarabangsa di Jabatan Perdagangan AS, Stefan M. Selig, yang mengunjungi India pada bulan lepas.

Momentum kukuh: perdagangan dua hala meningkat hampir tiga kali ganda daripada AS$36 bilion pada 2005 kepada AS$104 bilion pada 2014, dan pelaburan AS di India meningkat daripada AS$7.7 bilion pada 2004 kepada AS$28 bilion hari ini.

Ditanya sama ada beliau mempunyai jangka masa untuk mencapai sasaran tersebut dan sama ada ia matlamat yang boleh direalisasikan, Selig memberitahu Bernama pada Selasa bahawa ia merupakan ‘matlamat yang ditetapkan oleh kami…tiada tempoh masa…dan ia adalah matlamat yang realistik disebabkan potensi besar yang wujud dalam beberapa sektor seperti infrastruktur, tenaga, pertanian dan pengeluaran keluli.”

“Hubungan perdagangan dua hala antara AS dan India pada masa ini adalah hanya permulaan kepada perkongsian perdagangan yang transformatif.

“Meningkatkan perdagangan dua hala dengan India bermakna meluaskan faedah yang diterima AS daripada eksport India. India mempunyai potensi untuk menjadi penyumbang utama kepada rantaian nilai global, dan memandangkan ia memulakan agenda ekonomi penting ini, eksport AS boleh memainkan peranan untuk membantu India mencapai matlamat agenda tersebut,” kata Selig.

Bagaimanapun, wakil korporat AS yang menyertai perbincangan meja bulat Selig yang berikutnya pada Majlis Hubungan Hal Ehwal Luar (CFR), membangkitkan persoalan mengenai proses pembaharuan India apabila America Inc. menyatakan ia bergerak terlalu perlahan.

Pemodenan infrastruktur India penting bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara tersebut yang mampan dan merealisasikan manfaat daripada pembangunan ekonominya.

Selig, yang mengunjungi India pada Ogos, mempertahankan kerajaan India, dan menyatakan ia telah mencapai “kemajuan yang mantap”.

Pembangunan infrastruktur India, yang akan melibatkan $AS1 trilion, merupakan kawasan yang diintai oleh syarikat AS, bagaimanapun mereka juga sedar bahawa syarikat-syarikat di Malaysia, misalnya, turut sama berminat untuk meraih projek-projek infrastruktur di India.

Syarikat pembinaan Malaysia dan syarikat lain yang khusus dalam projek-projek infrastruktur yang besar telah menyiapkan projek-projek utama di India.

Kerajaan Modi telah menyebut mengenai ‘bandar pintar’, walaupun ramai pakar-pakar India dan AS mendengar Selig pada CFR, tetapi tertanya-tanya bagaimana ‘bandar pintar’ itu ditakrifkan. Bagaimanapun, pembangunan infrastruktur tersebut menawarkan janji projek-projek mega seperti sistem jalan raya dan kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang serta logistik pengedaran yang baik.

“Kami mahu membantu mewujudkan infrastruktur abad ke-21 di India,” kata Selig.

Selig turut dijadual mengunjungi Malaysia pada akhir tahun ini. Beliau mengesahkannya dalam temu bual dengan Bernama.

ARTIKEL YANG SAMA