Perdagangan dua hala M’sia-OIC meningkat 19%

Perdagangan dua hala M’sia-OIC meningkat 19%

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dijangka meningkat 19 peratus menjelang akhir tahun ini dan 25 peratus tahun depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Hari ini, penguasaan negara-negara OIC dalam perdagangan barangan global masih rendah.

“Kerana ini jugalah Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dengan Turki dan Pakistan bagi merangsang perdagangan dua hala dalam kalangan negara Islam,” katanya selepas melancarkan Forum Perdagangan dan Ekonomi OIC-Asia 2015, di sini hari ini.

Katanya negara-negara Islam memiliki peluang yang banyak untuk ditawarkan kepada dunia, merangkumi pengetahuan, sumber dan juga kebudayaan serta produk.

Kini dunia Islam ada peluang besar dalam ekonomi halal, meliputi perdagangan dan pelaburan dalam barangan dan perkhidmatan halal.

Sebelum ini dilaporkan bagi tempoh Januari dan Mei tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dengan negara OIC bernilai US$15.55 bilion, jatuh 19.7 peratus daripada US$19.37 bilion bagi tempoh sama pada 2014.

Jumlah eksport keseluruhan ke negara-negara OIC bagi lima bulan pertama 2015 bernilai US$8.20 bilion, jatuh 20.5 peratus daripada US$10.33 bilion vagi tempohn sama tahun lepas.