Perdagangan intra-ASEAN beri petanda baik

Perdagangan intra-ASEAN beri petanda baik

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) – Perdagangan intra-ASEAN memberi petanda baik untuk berkembang kepada 30 peratus menjelang 2020 kerana rantau ini mempunyai ramuan yang diperlukan sebagai hab perdagangan yang hebat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Beliau berkata, perdagangan di kalangan ASEAN yang kini berkisar sekitar 24 peratus, dijangka meningkat kepada 30 peratus daripada jumlah dagangan menjelang 2020 dipacu oleh pelbagai inisiatif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

ASEAN telah berjaya menghapuskan banyak halangan perdagangan dan perkongsian perdagangan di kalangan negara anggota akan terus berkembang kerana ekonomi mereka terus membangun, katanya.

“ASEAN mempunyai semua yang diperlukan untuk menjadi hab perdagangan yang hebat.

“Kita mempunyai duti sifar, kadar perbankan dan urbanisasi yang baik di samping infrastruktur dan produktiviti yang semakin meningkat,” katanya.

Dzulkifli berkata demikian kepada wartawan Bernama pada majlis rumah terbuka hari raya agensi berkenaan di sini, hari ini.

Negara ASEAN terus mencatat pertumbuhan ekonomi melalui integrasi ekonomi ASEAN yang lebih meluas, dipandu oleh rangka kerja AEC, oleh itu sasaran 30 peratus perdagangan intra-ASEAN kemungkinan besar boleh dicapai, katanya.

Difahamkan perkongsian jumlah dagangan intra-ASEAN berada pada US$608.63 bilion atau 24.2 peratus sehingga Julai 2014 daripada jumlah dagangan US$2.51 trilion dalam tempoh yang sama, berbanding US$458.1 bilion pada 2008, apabila pelan tindakan AEC mula dilaksanakan.

“Dengan penduduk lebih 600 juta, lebih ramai daripada penduduk Kesatuan Eropah atau Amerika Utara, potensi pasaran kita adalah besar.

“Apabila AEC diwujudkan tidak lama lagi, perdagangan intra-ASEAN sudah pasti akan mendapat manfaat daripadanya,” kata Dzulkifli.

Ketika ini, Malaysia bersama anggota ASEAN sudah bersedia mengalu-alukan AEC yang bertujuan merubah rantau ini kepada pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal di mana barangan, perkhidmatan, pelaburan serta buruh mahir bergerak bebas mulai 31 Disember depan.

Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Dzulkifli menegaskan dengan nada yang sama seperti pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata, MATRADE akan menjalankan satu pusingan lagi program kesedaran mengenai TPPA untuk perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera pada 6 Ogos bagi menerangkan peluang serta cabaran menjadi anggota perjanjian berkenaan.

MITI dalam satu kenyataannya baru-baru ini memetik menteri bertanggungjawab dalam rundingan TPPA, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai berkata, Malaysia belum menandatangani perjanjian itu dan mesyuarat di Hawaii baru-baru ini hanya untuk memastikan kepentingan dan kebimbangan Malaysia ditangani.

Kerajaan sudah pun mengambil pendirian tegas mengenai TPPA, di mana perkara berkaitan dengan perlembagaan, kedaulatan dan dasar teras negara seperti pemerolehan kerajaan, syarikat-syarikat milik negara dan pelbagai agenda Bumiputera dilindungi, kata menteri itu.

ARTIKEL YANG SAMA