Perdagangan M’sia-Jepun meningkat 1.4 peratus

Perdagangan M’sia-Jepun meningkat 1.4 peratus

TOKYO, 24 Mei (Bernama) – Jumlah dagangan Malaysia dengan Jepun meningkat 1.4 peratus pada 2014, mencecah RM137.45 bilion (AS$42 bilion), kata Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.

Beliau berkata Malaysia mencatatkan eksport sebanyak RM82.71 bilion (AS$25.26 bilion), peningkatan sebanyak 4.4 peratus manakala import dari Jepun susut 2.9 peratus kepada RM54.75 bilion (AS$16.74 bilion).

“Jepun merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura, dan negara-negara ini terus menjadi rakan dagang utama kita,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jepun.

Ahmad Izlan berkata antara eksport utama ialah gas asli cecair (LNG), barangan elektrik dan elektronik serta produk berasaskan kimia manakala import terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, komponen jentera, alatan dan aksesori kenderaan.

Beliau berkata Jepun merupakan antara pelabur utama di Malaysia, dengan 2,510 projek bernilai AS$22.7 bilion dilaksanakan oleh syarikat-syarikat negara itu sehingga 31 Disember, 2013 dan telah mewujudkan 332,352 pekerjaan.

Duta Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris pada sidang akhbar bersama wakil media Malaysia hari ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga hari ke Jepun mulai Ahad. – Bernama
Duta Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris pada sidang akhbar bersama wakil media Malaysia hari ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga hari ke Jepun mulai Ahad. – Bernama

Bagi tempoh Januari hingga September tahun lepas, sebanyak 47 projek dijalankan oleh firma Jepun dengan pelaburan sebanyak RM10.65 bilion (AS$3.26 bilion) telah diluluskan dan dijangka mewujudkan 6,874 peluang pekerjaan.

Ahmad Izlan berkata pada masa ini terdapat kira-kira 1,400 firma Jepun beroperasi di Malaysia, dan antara sektor berpotensi ialah industri teknologi hijau, industri teknologi tinggi, bioteknologi, elektronik maju dan automotif.

Ketibaan pelancong Jepun ke Malaysia juga menyaksikan peningkatan, mencecah 553,106 tahun lepas, naik 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata program ‘Malaysia Rumah Keduaku’ (MM2H) turut mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan 3,456 warga Jepun pada 2002 hingga 2014, kedua tertinggi selepas China.

Buat masa ini terdapat kira-kira 5,500 rakyat Malaysia yang tinggal di Jepun, termasuk 2,250 pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA