Perebutan Piala SC bermula

Perebutan Piala SC bermula

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Persaingan dalam merebut Piala Standard Chartered (SC) bagi Kejohanan Bolasepak Tertutup (Futsal) Antarabangsa lima orang sepasukan membuka tirai hari ini dengan majlis pelancarannya yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), Berakas, malam ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pelancaran kejohanan tersebut ialah Pengarah Belia dan Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Brunei, Rino Donosepoetro (Donny) dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Kami sangat teruja kerana dapat menghoskan kejohanan ini di Brunei pada tahun ini. Dengan hadiah yang lebih besar untuk dipertandingkan, dan campuran pemain yang baik, kami berharap ini akan menjadi kejohanan selama seminggu yang menarik.

“Penajaan Bank Standard Chartered kepada Liverpool menunjukkan bahawa kami bukan hanya sebuah institusi kewangan, tetapi kami juga mengetahui akan kepentingan penglibatan masyarakat melalui sukan. Kami berharap kesemua pemain dan penonton akan terhibur dengan kejohanan ini!” tambahnya lagi.

Rono Donosepoetro ketika memberikan ucapan alu-aluan di majlis perasmian kejohanan berkenaan.
Rono Donosepoetro ketika memberikan ucapan alu-aluan di majlis perasmian kejohanan berkenaan.

Sejumlah 24 pasukan akan bertanding untuk merebut hadiah berupa pakej perjalanan untuk menonton perlawanan Liverpool FC secara langsung di Stadium Anfield, di dalam Peti Eksekutif (Executive Box), United Kingdom.

Setiap pasukan yang menyertai kejohanan yang akan berakhir pada 9 April ini akan bertanding dalam format ‘round-robin’, di mana lapan pasukan teratas akan mara dari peringkat kumpulan. Kejohanan berkenaan telah disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Penerbangan Diraja Brunei, Borneo Bulletin dan Media Permata, dan juga disahkan oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Semua penyokong pasukan yang mengambil bahagian dan orang awam dialu-alukan untuk menonton perlawanan di Dewan Serbaguna KSNHB yang mana bayaran masuk adalah percuma. Untuk mengikuti kemas kini/maklumat terbaru mengenai kejohanan berkenaan, ikuti laman Facebook Bank Standard Chartered di www.facebook.com/StandardCharteredBN.