Perejam lembing Afrika menyerlah

Perejam lembing Afrika menyerlah

BEIJING, 28 Ogos – Tempoh latihan keras untuk dua atlet dari Afrika di sebuah pusat latihan rejam lembing di Finland telah mengubah kebiasaan dalam acara yang sangat memerlukan kekuatan fizikal dan teknikal.

Kejutan berlaku kelmarin dalam Kejohanan Olahraga Dunia apabila Julius Yego dari Kenya menang emas rejam lembing sambil mencatat rejaman ketiga terjauh dalam sejarah.

Dalam semua Kejohanan Dunia sejak 1983, hanya sekali atlet bukan dari Eropah menang emas iaitu Marius Corbett dari Afrika Selatan di Athens pada 1997. Selain daripada itu, pingat-pingat berlegar dalam kalangan negara Eropah.

Percubaan ketiga Yego yang sejauh 92.72 meter adalah yang terjauh sejak Jan Zelezny merejam sejauh 92.80m pada 2001.

Kejayaannya ditemani oleh seorang lagi atlet Afrika apabila Ihab Abdelrahman El Sayed dari Mesir menduduki tempat kedua dengan catatan 88.99m untuk pingat pertama negaranya dalam sejarah kejohanan dunia.

Julius Yego (kanan) dan Ihab Abdelrahman El Sayed (kiri) memeluk jurulatih mereka Petteri Piironen selepas masing-masing memenangi pingat emas dan perak untuk Kenya dan Mesir dalam Kejohanan Dunia di Beijing kelmarin. – Reuters
Julius Yego (kanan) dan Ihab Abdelrahman El Sayed (kiri) memeluk jurulatih mereka Petteri Piironen selepas masing-masing memenangi pingat emas dan perak untuk Kenya dan Mesir dalam Kejohanan Dunia di Beijing kelmarin. – Reuters

Juara 2007 Tero Pitkamaki dari Finland, yang juga pemenang perak di Moscow pada 2013, sekadar di tempat ketiga (87.64m).

Peningkatan mendadak Yego, yang terkenal kerana mengasah tekniknya dengan mencontohi jaguh-jaguh pujaannya menerusi klip-klip di YouTube, dan El Sayed adalah hasil asuhan jurulatih Finland, Petteri Piironen, yang melatih dua atlet berkenaan.

Piironen pertama kali bertemu Yego apabila seorang agen Finland yang bekerjasama dengan atlet-atlet Afrika menarik perhatiannya terhadap atlet Kenya itu.

El Sayed pada 2008 dan Yego pada 2011 mendapat biasiswa untuk berlatih di pusat yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Kuortane, Finland, negara yang dianggap sebagai pusat rejam lembing sedunia.

“Dia telah belajar asas yang baik daripada YouTube dan kemudian sudah tentu anda memerlukan seseorang untuk membimbing.

“Kemahiran rejaman Yego agak bagus. Dia tidak kuat dan bukan atlet lompatan yang bagus, tetapi apabila dia memegang lembing, mula berlari dan merejam, dia adalah antara yang terbaik,” kata Piironen selepas menyaksikan dua anak didiknya menaiki podium 1-2. – AFP