Perempuan tempatan didakwa gugur janin

Perempuan tempatan didakwa gugur janin

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160905_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Seorang perempuan tempatan berusia 22 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan menggugurkan kandungannya yang berusia enam bulan.

Nuramallinie @ Amal binti Suhaile didakwa menggugurkan kandungannya dengan mengambil pil yang merangsang kontraksi pada rahim sehingga janin itu keluar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada lewat malam 31 Ogos di sebuah rumah di Perumahan Kampung Sungai Bunga.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 312 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Saya dalam keadaan baik dan hanya mengalami sedikit kesakitan,” jawab Nuramallinie ketika ditanya oleh Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin mengenai keadaannya.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), dan memohon untuk tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat untuk mendapatkan keterangan.

Majistret Kanan bagaimanapun memerintahkan tertuduh untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital RIPAS dengan pengawasan pihak polis selama 24 jam.

“Pada pandangan saya, tertuduh mengalami trauma dan perlu berjumpa pakar psikologi,” kata Majistret Kanan yang turut membenarkan tertuduh diikat jamin $3,000 atau seorang penjamin tempatan.

Kes akan disebut semula pada 10 September.

ARTIKEL YANG SAMA