Perenang AS bantu siasatan kes samun

Perenang AS bantu siasatan kes samun

RIO DE JANEIRO, 18 Ogos – Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (AS) mengakui dua perenang negara itu ditahan oleh pihak berkuasa tempatan ketika dalam perjalanan untuk menaiki penerbangan meninggalkan Brazil.

Ia sebagai langkah menyelesaikan siasatan berhubung kejadian samun yang menimpa perenang sensasi AS, Ryan Lochte dan rakan sepasukannya dengan menyoal siasat kedua-dua perenang terbabit.

Jurucakap Jawatankuasa Olimpik AS, Patrick Sandusky, berkata Jack Conger dan Gunnar Bentz tidak dibenarkan menaiki pesawat oleh pihak berkuasa dengan alasan: ‘Kami sedang mengumpul maklumat.’

Wartawan mengelilingi perenang Gunnar Bentz (kiri), dan Jack Conger (tengah), semasa mereka meninggalkan balai polis di lapangan terbang Antarabangsa Rio kelmarin. - AP
Wartawan mengelilingi perenang Gunnar Bentz (kiri), dan Jack Conger (tengah), semasa mereka meninggalkan balai polis di lapangan terbang Antarabangsa Rio kelmarin. – AP

Lochte sebelum ini menjelaskan dia bersama Conger, Bentz dan beberapa rakan sepasukannya disamun dalam perjalanan pulang ke perkampungan sukan selepas berparti.

Kejadian itu menimpa mereka hanya beberapa jam selepas acara renang Olimpik melabuhkan tirainya. Setakat ini Polis hanya menemui beberapa bukti untuk menyokong laporan mereka itu.

Bapa Lochte memberitahu The Associated Press bahawa anaknya sudah selamat kembali ke AS. – AP