Perenang negara raih pingat gangsa

Perenang negara raih pingat gangsa

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Peserta renang berirama negara, Jacqueline Lim, berjaya merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Terbuka Renang Berirama Ke-92 Jepun yang berlangsung di Tokyo bermula 29 April hingga 1 Mei lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Persatuan Renang Amatur Negara Brunei Darussalam (BASA) berkata, kedudukan ketiga itu diraih oleh Lim setelah berjaya mengatasi tentangan hebat daripada peserta negara yang tidak asing dalam sukan renang berirama, iaitu Kanada, Australia, Kazakhstan, Great Britain, Switzerland, Indonesia dan Uzbekistan.

Kejohanan itu disertai sembilan negara sebagai salah satu pengukur dan persediaan menjelang kejohanan Olimpik Rio, Brazil yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Jacqueline Lim ketika menerima pingat gangsa dalam acara solo.
Jacqueline Lim ketika menerima pingat gangsa dalam acara solo.

Presiden BASA, Haji Abdul Aziz bin Latif dalam kenyataan itu berkata, persatuan itu berasa bangga terhadap kejayaan Jacqueline Lim meraih pingat gangsa yang sekali gus telah memperbaiki prestasi beliau sebanyak dua mata dalam acara solo yang sangat teknikal itu.

“Kejayaan itu pasti akan menaikkan semangat beliau untuk terus memperbaiki pencapaian bagi mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA) pada tahun depan,” ujar beliau.

Haji Abdul Aziz menegaskan pihak BASA akan terus berusaha memberi pendedahan kepada para perenang yang berpotensi dalam kejohanan peringkat antarabangsa dalam usaha untuk menimba lebih banyak pengalaman.

ARTIKEL YANG SAMA