Perenang negara terima biasiswa FINA

Perenang negara terima biasiswa FINA

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Perenang kebangsaan negara, Christian Nazaro Nikles telah dianugerahkan biasiswa oleh Persekutuan Renang Sedunia (FINA) di bawah Program Biasiswa FINA yang diberikan kepada atlet-atlet elit yang berpotensi dan hanya diberikan kepada 40 orang sahaja di seluruh dunia.

Biasiswa itu merupakan bantuan kewangan untuk membantu persediaan dan kelayakan bagi Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil dan Kejohanan FINA Dunia ke-13 di Windsor, Kanada tahun ini.

Melalui biasiswa tersebut Nikles akan berpeluang untuk memaksimumkan potensinya dan mendapat manfaat daripada pakar-pakar kejurulatihan tahap tinggi dan kemudahan-kemudahan bertaraf dunia.

Menurut kenyataan di sini, Nikles, 18, yang merupakan bekas graduan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) kini sedang melanjutkan pengajian peringkat ‘A Level’ di Millfield School, Somerset, England dan berlatih di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih renang di Millfield termasuk Ketua Jurulatih Jolyon Finck yang baru-baru ini dilantik sebagai salah seorang jurulatih Pasukan Olimpik bagi Great Britain untuk Sukan Olimpik Rio 2016.

Nikles ketika menyertai Kejohanan FINA Dunia ke-16 di Kazan, Rusia tahun lepas.
Nikles ketika menyertai Kejohanan FINA Dunia ke-16 di Kazan, Rusia tahun lepas.

Presiden Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dipetik sebagai berkata, “Kami gembira dan berbangga FINA telah mengiktiraf salah seorang perenang kebangsaan kita melalui anugerah biasiswa ini. Ia satu yang jarang berlaku apabila Brunei diberi pengiktirafan ini di mana hanya 40 biasiswa sahaja diberikan ke seluruh dunia tahun ini.”

FINA telah bekerjasama dengan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam membuat Sistem Kelayakan bagi Sukan Olimpik Rio 2016 dan seperti Sukan Olimpik lepas telah mengesahkan adanya Penempatan Kesejagatan untuk negara-negara tanpa perenang-perenang yang berupaya untuk mencatat masa kelayakan.

Di bawah penempatan sejagat, Majlis Olimpik Kebangsaan, “tanpa sebarang perenang yang layak atau pasukan relay, boleh memasukkan maksimum dua perenang, seorang lelaki dan seorang wanita dalam satu acara setiap seorang… dengan syarat mereka mengambil bahagian dalam Kejohanan FINA Dunia ke-16 di Kazan Rusia pada 2015 dan diluluskan oleh FINA untuk bertanding.”