PERGA diseru lebih aktif

PERGA diseru lebih aktif

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Persatuan Bekas Guru Agama Negara Brunei Darussalam (PERGA) disarankan untuk mempertingkatkan aktiviti pada masa hadapan agar mereka dapat menyumbang kepada menyemarakkan lagi kegiatan dakwah di negara ini, selaras dengan hasrat Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah Negara Zikir.

Persatuan yang mula ditubuhkan tiga tahun lalu dengan keahlian seramai 100 orang itu juga disarankan supaya dapat menambah lagi jumlah keahlian, demi mencapai salah satu matlamat penubuhan PERGA iaitu menyumbang ke arah kemajuan sosial dan ekonomi negara ini.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid ketika berucap semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERGA Ketiga 2016 yang berlangsung di Dewan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut, hari ini.

Beliau berharap agar persatuan tersebut dapat mewujudkan satu perancangan yang dinamik dan boleh dilakukan kerana ia merupakan satu sistem kawalan dan pengukur prestasi persatuan.

Dalam ucapannya, beliau juga berkata, tenaga ahli persatuan itu tidak terhenti di saat mereka bersara dari jawatan guru dan pegawai agama, kerana pendidikan agama adalah pendidikan sepanjang hayat yang juga merupakan satu bentuk jihad dalam perjuangan menuntut dan menyebarkan ilmu agama Islam yang mencakupi amalan duniawi dan ukhrawi.

Tetamu kehormat (tengah) bersama Yang Di-Pertua PERGA semasa majlis mesyuarat agung tersebut.
Tetamu kehormat (tengah) bersama Yang Di-Pertua PERGA semasa majlis mesyuarat agung tersebut.
Tetamu kehormat ketika melancarkan penerbitan buku ‘Guru Pewaris Para Nabi’ terbitan PERGA.
Tetamu kehormat ketika melancarkan penerbitan buku ‘Guru Pewaris Para Nabi’ terbitan PERGA.

Beliau seterusnya berharap supaya ahli persatuan itu akan terus merealisasikan aspirasi negara untuk membangunkan sahsiah bangsa bagi keamanan dan kesejahteraan ekonomi negara ini.

Majlis diselajurkan dengan pelancaran buku yang dihasilkan oleh PERGA berjudul ‘Guru Pewaris Para Nabi’ oleh tetamu kehormat.

Yang Di-Pertua PERGA, Haji Abdul Rahim bin Haji Gantang ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, proses penulisan buku tersebut telah pun bermula di bawah ahli jawatankuasa terdahulu yang diteruskan oleh jawatankuasa sedia ada.

Menurutnya lagi, naskhah ‘Guru Pewaris Para Nabi’ akan diedarkan secara percuma kepada para guru agama dengan harapan dapat digunakan dalam menyebarkan ilmu keagamaan kepada para pelajar sekolah agama.

Selain membentangkan perkara berbangkit dan kunci kira-kira persatuan, Mesyuarat Agung Ketiga itu juga diteruskan dengan pelantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERGA 2013-2015 dan pembubaran Ahli Jawatankuasa Tertinggi 2011-2013.

ARTIKEL YANG SAMA