Pergaduhan cemar Euro 2016

Pergaduhan cemar Euro 2016

PARIS, 12 Jun (AFP) – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengutuk pergaduhan yang tercetus antara penyokong sebelum aksi antara England dan Russia dalam saingan Euro 2016, malam tadi yang menyaksikan seorang penyokong Inggeris dalam keadaan kritikal.

“UEFA mengutuk insiden yang berlaku di Marseille. Individu yang terbabit dengan keganasan seperti itu tiada tempat dalam bola sepak,” kata jurucakap UEFA.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih ke arah ratusan penyokong England dan Russia bagi meleraikan pergaduhan antara mereka yang memasuki hari ketiga.

Polis Marseille, berkata seorang penyokong England berada dalam keadaan kritikal selepas pergaduhan itu.

Kekacauan berlaku sebelum dan selepas perlawanan di antara England dan Rusia. – AFP
Kekacauan berlaku sebelum dan selepas perlawanan di antara England dan Rusia. – AFP

Majlis disiplin UEFA akan menyiasat tingkah laku keganasan tersebut yang telah mencemarkan perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu.

Penyokong-penyokong kedua-dua belah pasukan telah terlibat dalam pergaduhan menjelang perlawanan itu dan keganasan yang lebih teruk lagi berlaku berikutan penyamaan kedudukan 1-1 Rusia pada minit-minit kecederaan di stadium Stade Velodrome.

Penyokong-penyokong Rusia kelihatan menyerang penyokong England di blok berhampiran, memaksa mereka untuk lari.

UEFA bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai penyiasatan itu.