Pergerakan luar biasa manusia

Pergerakan luar biasa manusia

Gambar Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos (Bernama) – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, petang ini berangkat ke Kuala Lumpur, Malaysia, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) ke-48 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 3-6 Ogos.

Sementara itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pergerakan luar biasa manusia di Asia Tenggara akan menjadi satu daripada isu utama dibincangkan pada mesyuarat itu yang bermula esok, mengambil perhatian ia berkait rapat dengan isu Rohingya.

Dalam temu ramah bersama Bernama di Kuala Lumpur, beliau berkata selaku pengerusi ASEAN, Malaysia telah berperanan sebagai peneraju untuk membincangkan isu itu apabila ia memanggil Mesyuarat Peringkat Menteri tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Putrajaya pada 20 Mei.

Temu ramah tersebut adalah bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, yang dianjurkan Malaysia selaku tuan rumah dari 1 hingga 6 Ogos.

Malaysia memulakan inisiatif tersebut apabila ia memanggil bagi mesyuarat itu susulan laporan bahawa bot membawa 1,158 warga Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat secara haram di Langkawi, Kedah pada 10 Mei, dan angka itu dilaporkan yang tertinggi setakat ini.

pg01_150803_a

pg01_150803_b

Mesyuarat tiga pihak itu dimuktamadkan dengan Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk memberikan bantuan kemanusiaan, dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 migran yang masih berada di laut pada ketika itu.

Anifah membacakan kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragor dari Thailand di Putrajaya untuk menangani masalah kebanjiran migran berkenaan.

Sementara itu pada 25 Mei, polis Malaysia mengumumkan penemuan 139 buah kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sempadan Thailand-Malaysia.

Anifah menegaskan Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara terjejas dan anggota masyarakat antarabangsa dalam usaha untuk menangani isu migran tanpa izin, termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan manusia di rantau ini.

“Malaysia turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Myanmar berhubung isu ini,” jelasnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan mesyuarat AMM ke-48 pada Selasa ini.

Di bawah kepengerusiannya tahun ini, Malaysia memilih tema ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’. Komuniti ASEAN turut disasarkan diwujudkan akhir tahun ini semasa Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan serantau itu.

ARTIKEL YANG SAMA