Perginya seorang tokoh negara

Perginya seorang tokoh negara

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Infofoto & Mohammad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seorang tokoh penting bukan sahaja dalam dunia politik negara tetapi juga dunia kesusasteraan Brunei, Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusuf bin Pengiran Haji Abdul Rahim atau lebih dikenali dengan nama penanya Yura Halim, telah menghembuskan nafas terakhirnya jam 9:37 pagi tadi, 11 April 2016, pada usia 92 tahun.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Kampung Sengkarai, tengah hari tadi dan berkenan bersama-sama menunaikan sembahyang jenazah berjemaah.

Sembahyang jenazah telah diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Jenazah Allahyarham yang merupakan bekas Menteri Besar Brunei dan seorang penulis yang pernah memenangi Anugerah SEA Write Award telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sengkarai, Tutong, petang tadi.

Dilahirkan pada 2 Mei 1923 di Kampung Kandang, Tutong, Allahyarham mempunyai 11 orang anak (tiga anak lelakinya sudah pun meninggal dunia), 38 orang cucu dan 22 orang cicit.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusuf di kediamannya di Kampung Sengkarai, Tutong.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara Pengiran (Dr.) Haji Mohd Yusuf di kediamannya di Kampung Sengkarai, Tutong.

pg01_160412_b

Mengimbau perjalanan kehidupannya, Allahyarham merupakan seorang warga Brunei yang banyak berjasa, malah beliau merupakan penulis seni kata lagu kebangsaan Brunei yang digubah oleh Allahyarham Awang Besar Sagap.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Bendera, Tutong, sebelum memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak; dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Hiroshima University, Hiroshima, Jepun serta South Devon Technical College, Devonshire, England.

Dalam bidang kerjayanya, Allahyarham pernah bertugas sebagai guru pelatih, penolong guru besar; penolong pegawai penerangan; pegawai penerangan; timbalan setiausaha kerajaan; setiausaha kerajaan; menteri besar; dan menjadi duta besar kerajaan Brunei ke Malaysia dan Jepun.

Selain itu, Allahyarham pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Diraja, ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat Diraja dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, serta merupakan ahli Jawatankuasa Perlembagaan Brunei, yang dikenali sebagai Tujuh Serangkai.

Allahyarham juga merupakan seorang penulis negara dan aktif dalam bidang penulisan seperti sajak, rencana dengan nama penanya ‘Yura Halim’dan menulis buku seperti Adat Istiadat Diraja, Sejarah Brunei dan menulis lirik lagu kebangsaan Brunei.

Dalam bidang kesusasteraan, Allahyarham pernah menerima beberapa anugerah termasuk SEA Write Award dan yang terbaru, Anugerah Pendidikan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien.

Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Allahyarham diangkat menjadi ‘Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Negara’ pada 12 Januari 1968 dan dinaikkan pangkat gelaran menjadi ‘Yang Amat Mulia Pengiran Setia Negara’ pada 16 Mei 1968.

Allahyarham Yang Amat Mulia juga pernah dikurniakan dengan beberapa bintang kebesaran dan pingat kehormatan seperti D.K (Laila Utama) pada 1968, S.P.M.B pada September 1963, D.S.N.D pada September 1960, S.M.B pada September 1958, Order of the Raising Sun pada 1985, C.B.E pada 1968, P.O.A.S pada 1961, P.H.B.S pada 1970, P.B.L.I. pada 16 Februari 2008, P.J.K pada 1959, P.K.L pada 1959, Pingat Perjuangan pada 1963, dan Pingat Puspa pada 1968.

pg11_160412_a

Di usia emasnya, Allahyarham bukan sahaja merupakan ahli Majlis Mesyuarat Negara malahan memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan dan mengukuhkan lagi hubungan di antara Jepun dan Brunei.

Bukan itu sahaja, Allahyarham juga mempunyai pelbagai pengalaman yang boleh dijadikan inspirasi kepada generasi Brunei akan datang terutamanya apabila beliau merupakan salah seorang daripada tiga orang pelajar dari Asia Tenggara dan satu-satunya warga Brunei yang berada dan terselamat semasa bom Atom digugurkan di Hiroshima pada 1945 dahulu.

Allahyarham datang ke Jepun pada 1944 sebelum memasuki Universiti Sastera dan Sains Hiroshima pada April 1945, dan apabila bom atom digugurkan di Hiroshima yang menyebabkan bencana melibatkan ramai penduduk termasuk pelajar-pelajar asing sepertinya, mereka tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk di sana.

Pengalaman Allahyarham semasa Perang Dunia Kedua itu sering diceritakannya kepada anak-anak dan cucu-cucunya.

Menurut cucu Allahyarham, Pengiran Yura Sukma binti Pengiran Haji Tajuddin dan Dayangku Yura Seri Kamalawati binti Pengiran Syed Issa.

Dalam menyampaikan cerita sejarah, Allahyarham sebenarnya menyampaikan pengajaran dan menyuruh mereka berfikir kerana sejarah banyak mengajar mereka, dan berharap mereka akan mengambil iktibar daripadanya.

Setelah pulang semula ke Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia berdedikasi sepenuhnya untuk berusaha bagi menyumbangkan bakti ke arah pencapaian kemerdekaan serta pembangunan Brunei dan pada masa yang sama, terus berusaha sehingga ke usia emasnya untuk mengukuhkan persahabatan di antara Jepun dan Brunei.

Selepas kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, kerajaan Jepun telah menganugerahkan Anugerah Kelas Pertama Rising Sun pada 1985 kepada Allahyarham dan beliau terus memainkan peranan penting dalam hubungan dua hala kedua-dua buah negara sebagai Duta Negara Brunei Darussalam ke Jepun pada 2001 hingga 2002.

Jasa dan sumbangan baktinya kepada persahabatan itu bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga di peringkat akar umbi yang mana beliau merupakan pengasas Persatuan Persahabatan Brunei-Jepun dan Penasihat Kehormat bagi Persatuan Alumni Brunei Jepun.

Selain jasanya kepada bangsa dan negara, Allahyarham juga mempunyai erti yang penuh bermakna bagi sekalian warga Media Permata kerana beliaulah insan yang memberikan nama kepada akhbar berbahasa Melayu unggul Brunei Darussalam – Media Permata.

Dalam temu bual Media Permata, semasa penulisan buku Tinta Permata, di kediamannya di Kampung Sengkarai, Daerah Tutong, Allahyarham yang nyata terharu dan menitiskan air mata mengenang semula perjalanan Media Permata dan mendoakan “Semoga Abiskita (Media Permata) akan terus dirahmati Allah S.W.T atas jasa baik Abiskita.

“Perihal memberikan nama akan sesuatu bukan suatu yang boleh dibuat sesuka hati kerana ia akan mendedahkan si pemberi akan imbalan pahala atau di sebaliknya dan saya percaya, jika Allah memberkati pasti suatu nama itu akan membawa seribu satu kebaikan kepada orang yang menggunakannya.”

Meskipun lupa akan sebab dan inspirasi asal yang menyebabkan beliau menamakan nama ‘Media Permata’ beliau bersyukur kerana melihat surat khabar ini terus berkembang dan melangkah setapak demi setapak ke hadapan seiring dengan perubahan masa.

Semoga semangat dan kekukuhan semangat juang beliau menjadi pemangkin kepada generasi masa kini untuk lebih berjaya setanding dengan kekentalan serta semangat jitu mereka yang berusaha untuk membangunkan ‘Akhbar Kita Bahasa Kita’ ini sebagai generasi perintis Media Permata.

ARTIKEL YANG SAMA