Perhatian istimewa untuk atlet SOBD

Perhatian istimewa untuk atlet SOBD

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Persatuan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam (SOBD) sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap perkembangan dan perubahan tingkah laku atlet istimewa di samping meningkatkan kecemerlangan mereka dalam bidang sukan.

Sehubungan itu, Forum Kesihatan Keluarga bertajuk Pendidikan Seksualiti Bagi Kanak-kanak dan Remaja Berkeperluan Khas 2015 yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa SOBD diharap dapat menjadi platform bagi ibu bapa dan penjaga atlet istimewa itu berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan dua penceramah pakar yang diundang khas untuk membincangkan mengenai tajuk tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Penasihat SOBD, Haji Maaruf bin Haji Murni Hadir selaku tetamu hormat majlis perasmian forum itu yang diadakan di Ibu Pejabat SOBD di Gadong hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi SOBD, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut serta kira-kira 50 orang yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa SOBD dan para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak istimewa.

Haji Maaruf mendengar taklimat mengenai pendidikan seksualiti.
Haji Maaruf mendengar taklimat mengenai pendidikan seksualiti.

Menurut Haji Maaruf, peranan utama SOBD adalah tertumpu pada pencapaian atlet istimewa dalam bidang sukan, namun setelah 10 tahun penubuhannya, perkembangan tingkah laku atlet tersebut terutama terhadap jantina yang bertentangan adalah suatu fenomena semula jadi yang perlu diberikan perhatian dan panduan.

Forum kendalian Jawatankuasa Rangkaian Sokongan Keluarga (FSN) itu diadakan dengan objektif untuk menghulurkan sokongan dan maklumat relevan mengenai SOBD.

Haji Maaruf menyampaikan ucapan perasmian forum.
Haji Maaruf menyampaikan ucapan perasmian forum.
Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli menyampaikan ucapan alu-aluan.
Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dayang Siti Zaleha (kanan) dan Dayang Alinah menyampaikan ceramah kepada para ibu bapa.
Dayang Siti Zaleha (kanan) dan Dayang Alinah menyampaikan ceramah kepada para ibu bapa.

Forum yang dibentangkan oleh Pegawai Pendidikan khas dari Kementerian Pendidikan, Dayang Siti Zaleha binti Abdul Manaf dan Pakar Psikologi Pendidikan dari Unit Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, Dayang Alinah binti Haji Tamin itu bertujuan untuk mewujudkan kesedaran ibu bapa dan penjaga terhadap perkembangan seksualiti anak-anak mereka.

Forum itu adalah ekoran majoriti atlet SOBD terdiri daripada remaja dan kanak-kanak yang mana para ibu bapa terbabit perlu mempersiapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada hubungan persahabatan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

ARTIKEL YANG SAMA