Perhebat program pencegahan HIV/AIDS

Perhebat program pencegahan HIV/AIDS

SANDAKAN, 21 Dis (UB) – Sebanyak 147 kes HIV dan 70 kes AIDS yang baru dengan 36 kes kematian direkodkan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September 2015, demikian menurut laporan akhbar Utusan Borneo online hari ini.

Laporan itu menambah kumulatif kes HIV bagi tempoh 1991 hingga September 2015 adalah sebanyak 2,195 kes dan 827 bagi AIDS dengan kematian sebanyak 341 kes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya dipetik sebagai berkata statistik itu jelas menggambarkan betapa pentingnya memperhebatkan program-program pencegahan HIV dan AIDS.

Menurut beliau, dalam memastikan matlamat itu dapat dicapai, kerajaan telah menggariskan strategi utama yang memfokuskan kepada pengukuhan program pengurangan mudarat dan meningkatkan aktiviti pencegahan bagi mencapai liputan sekurang-kurangnya 80 peratus kumpulan berisiko serta meningkatkan capaian rawatan antiretroviral (ARV) sehingga 95 peratus.

Katanya, dalam memperkukuhkan program pengurangan mudarat, aksesibiliti dan liputan perlu ditingkatkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada anggaran populasi penagih dadah suntikan mendapat rawatan terapi gantian dan tidak lebih 15% mendapat perkhidmatan pertukaran jarum dan alat suntikan.

Datuk Samsudin Yahya.
Datuk Samsudin Yahya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Kompleks Sukan Sandakan di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) Dr Jamail Muhi.

Mengulas lanjut Samsudin berkata, bagi memastikan rawatan mencapai 95%, adalah penting untuk mengenal pasti mereka yang hidup dengan HIV khususnya di kalangan kumpulan berisiko tinggi untuk diberikan rawatan dan ia boleh dilakukan dengan menjalani ujian saringan HIV.

“Kerajaan telah menyediakan ujian saringan HIV secara percuma di semua fasiliti klinik kesihatan dan hospital kerajaan selain Klinik 1Malaysia, pusat pemulihan dan institusi penjara.

“Kementerian juga telah bersetuju untuk melaksanakan ujian saringan HIV komuniti bermula tahun depan di mana badan-badan bukan kerajaan yang akan memberikan perkhidmatan ini akan dikenal pasti dan diberikan latihan terlebih dahulu,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA