Perhiasan manik masih lagi diminati ramai

Perhiasan manik masih lagi diminati ramai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Kraf tempatan dahulunya hanya dikenali sebagai industri tradisi dan untuk keperluan hiasan, rujukan dan hobi, namun kini ia sudah pun diinovasikan mengikut peredaran zaman, sehingga mampu dijadikan sebahagian daripada fesyen kaum hawa.

Salah satu kraf itu ialah kraf manik yang dahulunya digemari kaum hawa pada tahun 80an, kini kembali dengan rekaan dan gabungan warna yang ceria, sehingga boleh diangkat menjadi simbol kemewahan si pemakainya.

Melihat keistimewaan manik ini, seorang pekerja, Dayang Nurul Ramziah binti Haji Roslan dari Syarikat Hajah Dayang Norhani binti Haji Arsad di ruang legar Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, berkongsi pengalaman membuat kraf tangan menggunakan manik.

Beliau yang mula bergiat aktif dalam pembuatan kraf manik ini setelah diberi peluang bekerja di syarikat itu sejak tahun 2013, walaupun pada permulaannya beliau merasa kurang berkeyakinan tetapi atas sokongan dan semangat yang diberikan oleh majikan, beliau sudah mampu menghasilkan kraf manik dengan beberapa rekaan sendiri.

Semasa temu bual wartawan Media Permata baru-baru ini, beliau setakat ini telah menyulam beg, lapik meja dan tudung dulang.

Kraf manik masih diminati oleh kaum hawa.
Kraf manik masih diminati oleh kaum hawa.
Dayang Nurul Ramziah berhati-hati menyulam lapik meja tempahan dari pelanggan.
Dayang Nurul Ramziah berhati-hati menyulam lapik meja tempahan dari pelanggan.

Di samping itu juga, beliau pernah menyulam lapik meja sepanjang sembilan kaki yang ditempah oleh pelanggan yang mengambil masa lebih sebulan untuk siap.

Beliau turut menjelaskan, sulaman manik seperti beg, tudung dulang, buah-buahan, bakul, bunga dan bentuk binatang juga mendapat perhatian daripada pelancong luar negara.

Walaupun zaman sudah semakin maju, tetapi kraf manik ini masih lagi diminati oleh kaum hawa dan tempahan untuk kraf manik untuk hari raya ini juga tidak kurang mendapat sambutan daripada pelanggan.

Ini kerana manik juga dinilai secara berbeza-beza bergantung kepada kualiti yang tertentu yang mana sebahagiannya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Sementara itu, dari aspek kecantikannya pula, manik didatangkan dalam pelbagai warna menarik, saiz dan bentuk yang menggambarkan kecantikan dan keunikannya.

Daya kreativiti yang diilhamkan melalui jalinan biji-biji manik mampu memikat hati sesiapa sahaja yang memandangnya.