Perhimpunan bukan untuk keluar dari M’sia

Perhimpunan bukan untuk keluar dari M’sia

KUCHING, 22 Julai – Penganjur perhimpunan ‘722 Sarawak Freedom And Independent Walk’ hari ini menegaskan ia tidak meminta Sarawak keluar dari Malaysia. Perhimpunan itu dianjurkan Pertubuhan Dayak Iban Sarawak (Sadia) dan pergerakan Sarawak Untuk Rakyat Sarawak (S4S).

Pengerusi penganjur Peter John Jaban berkata perhimpunan itu tidak menyentuh langsung soal meminta Sarawak keluar daripada Malaysia.

Ketika ditanya pemberita sama ada penganjuran perhimpunan itu seolah-olah menghasut dan membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar daripada Malaysia, Jaban berkata pihaknya tidak pernah membangkitkan sentimen tersebut.

“Sarawak keluar daripada Malaysia? Itu terpulang kepada siapa-siapa saja, yang saya tahu di sini (perhimpunan hari ini) tidak ada. Kami tidak ada cakap mahu Sarawak keluar daripada Malaysia, itu siapa-siapa boleh cakap. Kami tidak boleh menghalang orang daripada bercakap, tapi kami tidak ada cakap itu macam,” katanya kepada para pemberita selepas perhimpunan itu.

Perhimpunan di Taman Rekreasi Song Kheng Hai itu diteruskan di sebalik nasihat polis supaya ia tidak diadakan atas faktor keselamatan.

Pengerusi penganjur ‘722 Sarawak Freedom and Independent Walk’ Peter John Jaban bersama-sama para peserta perhimpunan itu di Padang Merdeka, kelmarin. – Bernama
Pengerusi penganjur ‘722 Sarawak Freedom and Independent Walk’ Peter John Jaban bersama-sama para peserta perhimpunan itu di Padang Merdeka, kelmarin. – Bernama

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menerima maklumat bahawa terdapat pihak yang merancang untuk menggunakan perhimpunan itu sebagai platform untuk menghasut dan membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar daripada Malaysia.

Ada juga peserta yang berkumpul di Padang Jubilee di Jalan Datuk William Tan sebelum berarak ke lokasi utama perhimpunan sejauh 1.5 kilometer, jelas melanggar arahan polis terdahulu yang melarang diadakan perarakan.

Jaban berkata pihaknya meneruskan perhimpunan tersebut kerana berpendapat polis tidak menghalang penganjuran, sekadar ‘memberi amaran’.

Beliau berkata perhimpunan itu diadakan bagi memperingati hari kemerdekaan Sarawak daripada British serta menyuarakan tuntutan berhubung soal pendidikan, kesihatan dan royalti minyak.

Ada juga peserta didapati membawa bendera lama Sarawak sewaktu pemerintahan Rajah Brooke semasa perhimpunan itu.

Menjawab soalan mengapa peserta membawa bendera lama Sarawak ketika dijajah British, Jaban berkata mungkin rakyat lebih sukakan bendera lama tersebut berbanding bendera sedia ada. – Bernama