Perhimpunan S4S akan ditentukan Peguam Negara

Perhimpunan S4S akan ditentukan Peguam Negara

KUCHING, 24 Julai – Peguam Negara akan menentukan sama ada perhimpunan ‘722 Sarawak Freedom and Independent Walk di sini’ Rabu lalu melanggar undang-undang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat hasil penyiasatan yang dilakukan oleh polis terhadap penganjur yang sudah dipanggil memberi keterangan.

“Polis telah pun menyelidik (menyiasat), maknanya polis akan menilai sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara, jadi Peguam Negara akan buat keputusan sama ada perhimpunan itu telah melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Santubong berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai tempoh penyiasatannya, beliau berkata ia bergantung kepada kerjasama yang diberikan kepada polis semasa penyiasatan dijalankan.

Pada Rabu, ribuan peserta perhimpunan anjuran Pertubuhan Dayak Iban Sarawak (Sadia) dan pergerakan Sarawak Untuk Rakyat Sarawak (S4S) berkumpul di Taman Rekreasi Song Kheng Hai, di sini.

Ada juga peserta yang berkumpul di Padang Jubilee di Jalan Datuk William Tan sebelum berarak ke lokasi utama perhimpunan itu sejauh 1.5 kilometer, jelas melanggar arahan polis sebelum ini yang melarang perarakan itu diadakan.

Sementara itu, Peter John Jaban, seorang daripada penganjur perarakan itu, mendakwa beliau telah disoal siasat selama enam jam oleh polis semalam.

“Sebanyak 12 lagi koordinator turut disoal siasat,” katanya.

Beliau berkata S4S bukan sebuah entiti berdaftar dan orang ramai telah datang dari seluruh negeri secara sukarela untuk menzahirkan perasaan mereka, secara aman.

Peter berkata perarakan bakal dianjurkan akan lebih berorientasikan hiburan.

“Kami mungkin meminta bantuan kerajaan. Kami akan menggunakan slogan baharu ‘We are Sarawakians’ (Kami Rakyat Sarawak) berbanding ‘Sarawak for Sarawakians’ (Sarawak Untuk Orang Sarawak) sebelum ini bagi menunjukkan acara itu untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak orang untuk turut serta, termasuk anggota parti-parti politik, selagi mereka tidak datang dengan simbol dan slogan masing-masing,” katanya. – Bernama