Perhubungan berkat bawa kejayaan

Perhubungan berkat bawa kejayaan

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, perhubungan sihat, berkat dan selamat akan membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan. Namun begitu, perlu juga diingat, ledakan teknologi kini tidak kurang membawa kepelbagaian gaya hidup dalam kalangan masyarakat sejagat.

“Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Kerana itu, semunya ini mesti dilihat dan dikendalikan dengan bijaksana,” tegas Baginda dalam titah pada Perasmian Majlis Ilmu 2016 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, di samping kita digesa untuk meningkatkan iman dan takwa, kita juga disuruh mendalami ilmu pengetahuan sebagai suluh dalam kehidupan.

“Ilmu itu diibaratkan sebagai pelita untuk dimanfaatkan pada saat manusia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sejauh mana ilmu diperolehi, sejauh itulah ia akan berperanan,” titah Baginda.

Baginda melahirkan rasa gembira kerana perhimpunan intelek dan cendekiawan terus disemarakkan di negara ini. Ia adalah landasan penting untuk mengupas dan mendalami apa juga yang berkaitan dengan pembangunan bangsa.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, tema Majlis Ilmu tahun ini iaitu ‘Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Ummah,’ cukup relevan untuk melebarkan perbahasan mengenai peranan perhubungan dalam pembangunan bangsa dan negara, apatah lagi dunia sekarang sudah dibungkus oleh istilah globalisasi tanpa sempadan.

Titah Baginda, dari dimensi duniawi dan ukhrawi, kita telah dipandu untuk menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan kita sesama manusia sendiri.

“Hubungan dengan Allah berpaksikan iman, takwa dan ehsan, dalam makna, setiap amalan baik di dunia adalah penghubung untuk mendapatkan keredaan Allah di akhirat. Sementara perhubungan sesama manusia pula dalam konteks pertalian diplomatik, sosial, ekonomi dan sebagainya yang membawa kepada keamanan, kesejahteraan dan faedah bersama.

“Sebaliknya, jika tanpa perhubungan, maka sesuatu yang baik dan bermanfaat tidak mungkin diperoleh,” titah Baginda lagi.

Baginda seterusnya bertitah, setiap negara membangun, pasti memerlukan masyarakat dinamik, pergerakan sosial (social mobility) dan ekonomi yang kental lagi kompetitif.

Matlamat ini, tegas Baginda, hanya boleh dicapai dengan adanya sistem perhubungan berkesan untuk mengendalikan pelbagai pergerakan, barangan, perkhidmatan dan maklumat.

“Dengan berlakunya kelancaran perhubungan, maka sudah dapat membuka peluang-peluang pasaran, pencarian pekerjaan dan malah ruang perekonomian yang sangat luas.”

Menurut Baginda lagi, sistem perhubungan dan pengangkutan cemerlang adalah sejajar dengan kehendak syariat Islam untuk memudahkan ummah bertebaran di muka bumi bagi mencari ilmu dan rezeki.

Tidak diragukan lagi, perhubungan sihat, berkat dan selamat akan membawa kepada kejayaan dan kesejahteraan. Namun begitu, perlu juga diingat, ledakan teknologi kini tidak kurang membawa kepelbagaian gaya hidup dalam kalangan masyarakat sejagat.

“Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Kerana itu, semunya ini mesti dilihat dan dikendalikan dengan bijaksana,” tegas Baginda.

Baginda seterusnya menekankan, seluruh dunia kini adalah terkait dengan rangkaian pengangkutan dan ICT canggih dan ia menjamin pengurusan yang cepat dan mudah untuk kemajuan masa depan.

Kerajaan Baginda baru-baru ini telah melancarkan rancangan peningkatan sistem pengangkutan awam ke arah mencapai matlamat perkembangan ekonomi.

Di samping itu, penubuhan badan-badan berkuasa seperti Autoriti Maritim dan Pelabuhan dan Autoriti Pengangkutan Awam juga sedang giat diteliti untuk merancang sistem pengangkutan secara berterusan.

“Beberapa cabaran sedia menunggu, antaranya penyediaan prasarana, kesesakan lalu lintas dan penggunaan laluan serta jalan raya yang selamat,” titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri titah dengan menyatakan keyakinan dan harapan bahawa Majlis Ilmu tahun ini dapat menghuraikan dengan jelas istilah ‘Perhubungan Berkat dan Selamat’ seperti yang diharapkan.

ARTIKEL YANG SAMA