Perhubungan berkat fokus Majlis Ilmu

Perhubungan berkat fokus Majlis Ilmu

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Dengan membawa tema ‘Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Ummah,’ Majlis Ilmu 2016 yang diadakan setiap tahun bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 akan berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Ogos ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Majlis Ilmu 2016 dikendalikan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perhubungan di mana tiga acara utama akan diadakan pada sebelah pagi ketiga-tiga hari berkenaan, bermula pada 23 Ogos dengan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2016 yang akan berkenan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Menurut Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, pada 24 Ogos akan diadakan Ceramah Perdana dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Manakala pada 25 Ogos akan diadakan Forum Perdana dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, katanya pada sidang media mengenai Majlis Ilmu 2016 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Kementerian Perhubungan, hari ini.

Turut hadir semasa sidang media itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid; Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Hadi bin Haji Husin dan Pemangku Pengarah Penyelidikan dan Perkembangan, Kementerian Perhubungan, Hajah Lailatul Zuraidah binti Haji Mohd Hussain.

Haji Azhar menerangkan mengenai Majlis Ilmu 2016 pada sidang media di Kementerian Perhubungan, kelmarin.
Haji Azhar menerangkan mengenai Majlis Ilmu 2016 pada sidang media di Kementerian Perhubungan, kelmarin.

Menurut Haji Azhar lagi, sesi simposium akan diadakan pada sebelah petang bermula 23 hingga 25 Ogos di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Pada majlis perasmiannya nanti, satu sesi ceramah khas akan disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Manakala itu, pada sesi ceramah perdana nanti, akan menyaksikan penceramah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Timbalan Naib Canselor, Profesor Dr Zulkiple bin Abdul Ghani menyampaikan ceramah bertajuk ‘Hubungan Perhubungan Berkat Dengan Kesejahteraan Ummah’.

Bagi acara forum perdana pada 23 Ogos, bakal menyaksikan perbincangan yang melibatkan panel-panel forum dari dalam dan luar negara membentangkan tajuk ‘Impak Perhubungan Terhadap Kesejahteraan Ummah’.

Haji Azhar berkata, Simposium Majlis Ilmu akan diadakan pada sebelah petang sepanjang acara berkenaan di Dewan Persidangan Utama di mana sebanyak 17 kertas kerja akan dibentangkan oleh 16 orang pembentang.

Pembentangan kertas kerja itu dibahagikan kepada enam sesi dengan enam tema kecil di mana peserta bagi simposium tiga hari itu terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, penuntut-penuntut institusi pendidikan tinggi serta wakil dari syarikat swasta, persatuan pengangkutan dan ICT.

Beliau menerangkan bahawa buku program bagi Majlis Ilmu boleh diperolehi dalam laman sesawang Majlis Ilmu dan QR Code, yang dapat diakses bermula hari ini (17 Ogos).

Forum itu, ulasnya lagi, akan menggunakan aplikasi ‘Pigeon Hole’ iaitu aplikasi yang membolehkan para penonton untuk menyampaikan soalan-soalan kepada pembentang kertas kerja secara dalam talian kepada moderator simposium itu nanti.

Laman sesawang Majlis Ilmu www.majlisilmu.gov.bn, boleh diakses bermula hari ini, di mana antara maklumat yang boleh didapati adalah mengenai atur cara bagi kesemua acara Majlis Ilmu, keterangan mengenai penceramah-penceramah dan abstrak kertas-kertas kerja.

ARTIKEL YANG SAMA