Perhubungan mantapkan pembangunan ekonomi Islam

Perhubungan mantapkan pembangunan ekonomi Islam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Kemajuan sistem perhubungan di Abad ke-21 ini membawa perubahan yang amat besar kepada budaya kehidupan manusia masa kini, antaranya merangkumi kemudahan kenderaan, teknologi info-komunikasi dan cara berniaga yang kesemuanya semakin canggih dari tahun ke tahun.

Hasil ledakan kemajuan sistem ini juga telah menjana intelektual manusia ke hadapan melalui perkongsian maklumat dunia tanpa sempadan dan waktu.

Dalam pada itu, peranan yang telah dipertanggungjawabkan kepada sistem perhubungan dalam membangun ekonomi Islam pula adalah amat penting kerana apabila dikaitkan dengan ekonomi Islam, ia tidak lari daripada tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Fiqh Mu’amalat agar selaras dengan kehendak Hukum Syarak.

Hubungan sistem perhubungan dengan pembangunan ekonomi Islam ini dibincangkan oleh Ketua Penasihat Syariah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Haji Muhammad Shukri bin Haji Ahmad semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peranan Sistem Perhubungan Ke Arah Pembangunan Ekonomi Islam’ dalam sesi pembentangan kelima bertema ‘Strategi dan Peranan Sistem Perhubungan’ semasa Simposium Majlis Ilmu 2016 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Beliau menjelaskan, apabila sistem perhubungan bergabung dengan cara hidup yang Islamik, ia akan menjadi satu sistem yang cukup sempurna kerana asasnya ialah melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Menurut beliau, antara kaedah-kaedah yang dijadikan panduan asas yang telah diamalkan dalam ekonomi Islam khasnya dalam industri kewangan Islam ialah Prinsip dan Nilai serta Maqasid as-Syariah.

Kaedah-kaedah ini telah dijadikan satu panduan dalam menentukan apa-apa produk dan perkhidmatan patuh syarak iaitu sebelum ia diperkenalkan ke pasaran.

Namun, jelasnya lagi, isu dan cabarannya tidak dinafikan antaranya akad dan transaksi kewangan yang perlu sentiasa mantap dan ke hadapan melalui teknologi terkini merupakan cabaran untuk menjadikan proses itu sentiasa mematuhi syarak, keselamatan daripada serangan siber yang memerlukan kekuatan keselamatan siber, kawalan dan pemantauan serta isu baru.

Sehubungan itu, amalan terbaik antarabangsa khasnya dalam kewangan Islam antaranya telah banyak menggariskan rangka kerja atau panduan dalam membangunkan ekonomi Islam agar mematuhi Syarak dan dalam masa yang sama selari dengan arus kepesatan ekonomi dunia yang bergerak pantas ke hadapan melalui industri-industri berskala besar termasuklah industri pengangkutan dan perhubungan.

ARTIKEL YANG SAMA