Peringatan buat nelayan, pengguna perahu pelesiran

Peringatan buat nelayan, pengguna perahu pelesiran

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Semua nelayan dan pengguna perahu pelesiran di negara ini dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi kehendak Peraturan Perkapalan Pedagang (Pendaftaran Kapal Menangkap Ikan dan Pelesiran) 2011 dengan mendaftarkan perahu masing-masing ke Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan.

Jabatan Laut membuat peringatan ini dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, sebagai usahanya untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutama sekali kepada nelayan-nelayan dan pengguna perahu pelesiran di perairan Negara Brunei Darussalam.

Menurut jabatan berkenaan, dengan adanya nombor pendaftaran yang sah, ia dapat memastikan bahawa perahu-perahu yang akan digunakan dilengkapi dengan alat-alat keselamatan dan juga akan memudahkan pihak-pihak tertentu mengenal pasti pemilik-pemilik perahu apabila menghulurkan bantuan semasa kecemasan.

Sebagai makluman para pengguna perahu menangkap ikan dan pelesiran, ‘Peraturan Perkapalan Pedagang (Pendaftaran Kapal Menangkap Ikan dan Pelesiran) Bahagian V (Kesalahan) memperuntukkan Peraturan 19 (1) iaitu sesiapa yang melanggar mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi $2,000, dan Peruntukan 19 (2) iaitu pendaftar boleh, menurut budi bicaranya, mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini daripada seseorang yang disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan itu sejumlah wang yang tidak melebihi $500.

Di samping itu, Jabatan Laut turut mengingatkan pelaut-pelaut supaya tidak memasuki atau berlabuh di kawasan zon-zon keselamatan di perairan Negara Brunei Darussalam dalam lingkungan 500 meter daripada binaan yang diwartakan bagi mengelakkan terjadinya kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Perintah Perkapalan Pedagang (Zon Keselamatan), 1988 dan Pindaan 2013 memperuntukkan nakhoda kapal ataupun sesiapa yang didapati melanggar perintah tersebut dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $100,000 dan kapal boleh ditahan. Bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan bersama, Jabatan Laut menasihatkan orang ramai terutama sekali para nelayan dan juga pengguna perahu-perahu kecil supaya akan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah-langkah keselamatan apabila hendak keluar ke laut dan juga sentiasa memerhatikan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA