Peringatan kepada pelaut

Peringatan kepada pelaut

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Jabatan Laut memberi peringatan kepada para pelaut supaya terus berhati-hati semasa kerja-kerja pemasangan menara kaji selidik bagi Projek Jambatan Brunei-Muara Temburong yang sedang dijalankan di kawasan Kota Batu, Terusan Brunei serta Terusan Timur, yang telah bermula pada 23 Disember 2015 hingga 23 November 2018, nanti.

Menurut jabatan itu, kerja-kerja berkenaan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan menerusi Syarikat Daelim-Swee J.V Sendirian Berhad, Negara Brunei Darussalam itu akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran sepanjang tarikh berkenaan dengan kapal-kapal yang terlibat ialah Tosung No.1 (call sing:Tosung No.1), Tosung No.07 (call sign: Tosung No.07) dan Tosung No.06 (call sign: No.06).

Kerja-kerja yang dilaksanakan itu adalah termasuk pemasangan sementara cerucuk, pemasangan platform serta pemasangan TBM oleh juru ukur yang berlesen.

Sebagai langkah keselamatan bagi para pelaut yang berada berhampiran dengan kawasan-kawasan kerja berkenaan, lampu berkuasa solar berwarna kuning serta berkelip secara cepat dan berterusan dipasang di kawasan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, para pelaut diingatkan untuk berhati-hati dan menjauhkan diri dalam jarak yang selamat dari kawasan operasi serta mengamalkan sifat-sifat kepelautan yang terbaik ketika berada di dalam kawasan operasi berkenaan dan mana-mana bot dikehendaki menjauhkan diri iaitu 100 meter daripada operasi berkenaan.

Pihak JKR menerusi Syarikat Daelim-Swee J.V Sendirian Berhad juga akan sentiasa memantau perjalanan operasi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA