Peringatan polis menjelang cuti sekolah

Peringatan polis menjelang cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Menjelang musim cuti persekolahan kedua tahun ini yang akan bermula esok hingga 18 September, Pasukan Polis Diraja Brunei mengeluarkan satu peringatan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian semasa musim tersebut.

Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, antaranya ialah meningkatkan langkah-langkah keselamatan terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah dengan memaklumkan kepada balai-balai polis atau pos-pos polis yang berdekatan mengenai tarikh pemergian bagi bertujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan. Mereka juga dinasihatkan memaklumkan kepada penghulu dan ketua kampung bagi sama-sama memata-matai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni serta memastikan semua pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah. Segala wang, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan mudah diketahui.

Bagi mereka yang berhasrat hendak keluar negara adalah dinasihatkan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran yang berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Manakala lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutama sekali di tempat-tempat yang senang dilihat.

Kenyataan tersebut turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak-anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

“Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

“Jika terdapat apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan, maklumkan dengan segera kepada pihak polis atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu atau ketua kampung di mana tindakan seterusnya dapat diambil oleh orang ramai.

“Pastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci semasa meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika bagi mengelakkan kereta dicuri semasa meninggalkan kereta tersebut,” menurut kenyataan itu lagi. Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menggesa orang ramai supaya melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA