Peringatan untuk peserta acara amal CE-ALAF, BIBD

Peringatan untuk peserta acara amal CE-ALAF, BIBD

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Untuk memastikan keselamatan para peserta yang mengambil bahagian dalam acara amal CE-ALAF, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan para peserta kategori separa maraton bahawa tempoh bagi penutupan jalan raya adalah selama tiga jam selepas para peserta kategori berkenaan dilepaskan.

Sehubungan dengan itu, setelah jalan raya dibuka semula selepas tempoh penutupannya, para peserta dibenarkan untuk meneruskan larian tetapi mereka harus menanggung risikonya.

Pada masa yang sama, BIBD akan menyediakan bas untuk peserta yang ingin menghentikan larian selepas tempoh penutupan itu dan mereka digesa mematuhi peraturan untuk menaiki bas berkenaan.

Pihak penganjur juga memberikan peringatan kepada para peserta kategori masing-masing supaya sentiasa peka dengan masa perlepasan bagi kategori mereka dan atas sebab keselamatan, mereka tidak akan dibenarkan untuk menyertai larian dalam tempoh dua puluh minit sebelum tempoh pelepasan.

BIBD juga telah menyediakan kawasan penyimpanan yang ditetapkan di mana ia di bawah pemantauan kakitangan BIBD sepanjang CE-ALAF pada 25 Oktober nanti.

Pada masa yang sama, di akhir ekspedisi amal itu, yang dijangka pada kira-kira pukul 11:30 pagi, BIBD bersama-sama Pasukan Polis Diraja Brunei mengingatkan para peserta untuk mengutip barangan mereka di kawasan yang ditetapkan itu.

BIBD dan Pasukan Polis Diraja Brunei juga menasihatkan para peserta bahawa selepas berakhirnya acara itu nanti, mereka bertanggungjawab terhadap barangan mereka jika berlaku sebarang kehilangan atau kerosakan.

ARTIKEL YANG SAMA