Peringati mangsa lalu lintas

Peringati mangsa lalu lintas

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Sempena Hari Maritim Sedunia dan memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) hari ini mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat berjemaah beserta bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Ratib Al-Attas.

Majlis yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dihadiri Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Turut hadir Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Hajah Airah binti Haji Abdullah serta pengarah Pengangkutan Darat, pemangku pengarah Jabatan Laut, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan di kementerian berkenaan, ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, ahli-ahli Persatuan PEMODA, Persatuan dan Kelab Berbasikal Negara Brunei Darussalam, wakil Institusi Akademi Maritim Brunei dan rakan strategik industri Maritim negara ini.

Awang Abdul Mutalib (dua kiri) semasa menunaikan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah.
Awang Abdul Mutalib (dua kiri) semasa menunaikan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah.

Sembahyang sunat hajat bagi memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya bertujuan untuk memohon dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan terutama kepada para pengguna jalan raya di samping meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di negara ini.

MKKJR turut menyarankan agar semua pengguna jalan raya sentiasa berwaspada, bertanggungjawab dan mengamalkan etika yang betul dan selamat semasa berada di jalan raya.

Hari Maritim Sedunia disambut setiap tahun dan tema tahun ini ialah ‘Pendidikan dan Latihan Maritim untuk meningkatkan perhatian terhadap pendidikan dan latihan maritim secara meluas dengan memastikan pendidikan dan latihan tersebut mencukupi dan berkualiti.

Dengan demikian, ia akan dapat menjamin perkembangan sumber manusia yang berkualiti, berkemahiran praktikal dan cekap agar industri perkapalan selamat, mapan dan terjamin.