Perintah Berkurung di Esszone dilanjut 13 Dis

Perintah Berkurung di Esszone dilanjut 13 Dis

KOTA KINABALU, 27 Nov – Perintah berkurung di kawasan perairan di tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, akan dilanjutkan sehingga 13 Disember, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Abdul Rashid berkata perintah berkurung yang berkuat kuasa dari 6 petang hingga 6 pagi itu membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuat kuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu dinyatakan.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan. – Bernama