Perintah berkurung di ESSZone dilanjut hingga 3 Mei

Perintah berkurung di ESSZone dilanjut hingga 3 Mei

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) – Perintah berkurung di kawasan perairan dalam tujuh daerah di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini dilanjutkan sehingga 3 Mei, berkuat kuasa mulai 18 April, dari pukul 7 malam hingga 5 pagi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.

Abdul Rashid berkata perintah berkurung berkenaan membabitkan kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuat kuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini Sabtu malam.

Beliau berkata langkah meneruskan perintah berkurung berkenaan adalah bagi memastikan kawasan perairan itu tidak dicerobohi oleh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan berkenaan.

Abdul Rashid berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan serta kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan ESSZone untuk melakukan jenayah rentas sempadan yang lain.