Perintah berkurung di ESSzone dilanjut hingga 8 Sept

Perintah berkurung di ESSzone dilanjut hingga 8 Sept

KOTA KINABALU, 23 Ogos – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone) yang berakhir hari ini dilanjutkan mulai esok hingga 8 September, dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata dengan perlanjutan itu orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di rumah dan dilarang memasuki kawasan tersebut sepanjang tempoh itu.

Abdul Rashid dalam kenyataannya hari ini berkata perairan yang terlibat dalam perintah berkurung itu meliputi daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di situ ialah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong luar negara yang melawat pulau peranginan,” katanya.

Menurut Abdul Rashid berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penjenayah dari selatan Filipina yang melakukan penculikan untuk mendapat wang tebusan, masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan.

Katanya perintah berkurung itu juga diteruskan bagi menjamin keselamatan pengguna perairan tersebut serta mereka yang tinggal di kawasan daratan ESSzone. – Bernama